Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang dibenarkan keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kota Bharu semalam, dinasihatkan doktor supaya berehat di rumahnya di Pulau Melaka di Kota Bharu.

Setiausaha Sulit Kanannya Ahmad Shargowi Derahman berkata Mursyidul Am PAS itu tidak masuk pejabat di Kota Darulnaim di Kota Bharu, hari ini, sebaliknya beliau berehat di rumah.

"Tidak ada program rasmi yang membabitkan kehadiran Menteri Besar dalam
sehari dua ini," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu, hari ini.

Nik Abdul Aziz, 81, dirawat di wad rawatan jantung (CCU) hospital itu sejak Rabu lepas, setelah mengadu sakit dada selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim.

- Bernama