Perubahan pada sistem pendidikan negara setiapkali menterinya bertukar ganti, memberi kesan tidak baik terhadap aspek pendidikan agama dan moral para pelajar, khususnya di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di negara ini.

Ketika menegaskan demikian, ketua penerangan Pemuda Keadilan Pahang, Mohd Zukri Aksah berkata keadaan ini menyebabkan tidak wujud keseragaman dalam sistem pendidikan negara.

"Kesannya, kita sukar mengawal pelajar.. Selain itu, setiap sekolah mempunyai sistemnya tersendiri. Kerajaan tidak membuat kajian menyeluruh untuk memutuskan cara yang efektif bagi menguruskan sistem pendidikan di Malaysia," katanya ketika dihubungi malaysiakini.

Ahad lalu, seorang pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Agama Dato Klana Petra Maamor, Muhammad Farid Ibrahim, 16, mati dipercayai akibat dibelasah dengan teruk oleh sekumpulan pelajar Tingkatan Lima.

Kejadian yang berlaku di asrama itu merupakan yang kedua melibatkan kehilangan nyawa dalam masa kurang enam bulan di negara ini. Pada 31 Oktober tahun lalu, seorang pelajar, Ahmad Firdaus Zakaria, 15, maut selepas tiga hari koma di Hospital Port Dickson, akibat dipukul oleh sekumpulan pelajar.

Berikutan itu, 14 pelajar sekolah berkenaan telah ditahan polis bagi membantu siasatan. Dan semalam, Ibrahim Maadah, 49, bapa kepada Muhammad Farid, membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan kejadian yang menimpa anaknya.

Masalah disiplin

Ibrahim mendakwa bahawa pihak pengurusan dan warden asrama sekolah itu serta Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan tidak mengambil berat terhadap masalah disiplin dan salahlaku pelajar di sekolah berkenaan.

Mengulas lanjut mengenainya, Mohd Zukri berkata, budaya samseng boleh berlaku di mana-mana berikutan kehidupan pelajar yang semakin kompleks akibat terdedah kepada persekitaran luar.

"Mereka mudah menerima pengaruh luar semasa berkawan. Mereka juga bertindak agresif dalam menyelesaikan masalah sehingga melibatkan penggunaan senjata. Kini masyarakat tidak mampu mengawal sikap pelajar," tambahnya.

Beliau juga menegaskan perlunya diberi penekanan terhadap aspek pendidikan agama dan moral, terutama di sekolah asrama, seperti saling hormat-menghormati, bersopan santun dan bekerjasama bagi menghindari berlaku pergaduhan antara pelajar.

"Guru asrama dan pihak warden juga perlu menguatkuasa peraturan yang ditetapkan, di samping mengawasi kegiatan para pelajar," tambahnya.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Shamsul Amri pula berpendapat memang terdapat kelemahan dalam struktur sistem pentadbiran sekolah asrama di peringkat negeri.

Guru sementara

"Adalah susah untuk mentadbir sesebuah sekolah, terutamanya sekolah yang tertakluk kepada perbelanjaan kerajaan negeri. Jika kerajaan negeri itu miskin, ia terpaksa meminjam tenaga pekerja daripada kerajaan pusat," tambahnya.

Prof Shamsul berkata, beliau difahamkan bahawa Sekolah Menengah Agama Dato Klana Petra Maamor memang menghadapi kekurangan tenaga terlatih.

"Guru-guru dipinjam sementara dan mereka juga tidak dilatih untuk menjadi warden asrama. Ia merupakan masalah utama dalam struktur sistem pentadbiran asrama di peringkat negeri.

"Sistem sekolah berasrama perlu pengawasan yang lebih. Para pelajar memohon tinggal di asrama atas alasan-alasan yang berbeza. Kerana itulah, menyebabkan keadaannya sukar dikawal," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya kerajaan memantau prestasi dan keadaan di sekolah asrama dan sekolah agama dalam mencari punca masalahnya, serta mencari jalan untuk menyelesaikannya.