Sistem pengendalian SPR lemah
Kelemahan dalam sistem pengendalian Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) semalam menyebabkan ramai pengundi tidak dapat mengundi kerana kesilapan besar dalam daftar pemilihnya.
Kelemahan dalam sistem pengendalian Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) semalam menyebabkan ramai pengundi tidak dapat mengundi kerana kesilapan besar dalam daftar pemilihnya.
Dan tidak pernah berlaku sebelum ini di mana proses pengundian bagi sesuatu kawasan ditangguhkan kerana kesilapan dalam cetakan kertas undi, sepertimana di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing di Pahang apabila simbol parti yang salah, digunakan.
Menurut laporan Bernama, SPR telah mencetak simbol parti Keadilan bagi calon pembangkang, Idris Ahmad sedangkan beliau daripada calon PAS, yang menentang calon Barisan Nasional (BN) Mohamed Sohaimi Mohamed.
Berikutan itu, SPR telah mengambil keputusan untuk membatalkan pengundian di DUN tersebut dan seramai 11,790 terbabit terpaksa mengundi lagi Ahad depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut menegur SPR mengenai kesilapan yang berlaku di pusat-pusat pengundian yang menyebabkan sejumlah pengundi tidak dapat menggunakan hak mereka mengundi.
Beliau mempersoalkan kenapa sejumlah pengundi tidak dibenarkan mengundi sedangkan nama mereka terdapat dalam senarai pemilih selepas mengesahkannya dengan SPR, tetapi tidak pula tersenarai dalam senarai pemilih yang terdapat di pusat pengundian di mana mereka sepatutnya mengundi.
"Saya amat tidak puashati. Ini telah menghalang sejumlah rakyat Malaysia daripada menggunakan hak mereka. Saya mahu tahu apa sebenarnya berlaku," katanya pagi ini.
Komputer rosak
Mereka yang terbabit termasuk penyokong Barisan Nasional (BN), malah beberapa pengundi langsung enggan mengundi kerana kecewa dengan kekeliruan yang berlaku.
Ada pengundi berkejar ke beberapa pusat pengundian untuk mengesahkan nama mereka walaupun nama pusat pengundian yang sepatutnya mereka mengundi, telahpun disahkan oleh SPR sebelum ini.
Terdapat laporan mengenai komputer yang disediakan SPR tidak mencukupi dan ada juga yang rosak dan langsung tidak boleh digunakan.
Satu lagi masalah yang timbul ialah senarai pemilih di dalam CD ROM tidak sama dengan senarai daftar pemilih yang bercetak.
Disebabkan kesilapan itu, beberapa pusat pengundian dibuka lewat, ada yang sampai tiga jam, satu daripadanya ialah di Taman Greenwood di Gombak.
Di tengah-tengah kekalutan dan ramai yang mula naik berang, dua wanita warga emas pengsan di pusat pengundian Sekolah Menengah Puchong Perdana dan seorang wanita lagi di Sekolah Kebangsaan Seri Gombak 2, di Gombak.
Kekeliruan itu memaksa SPR melanjutkan proses pengundian di Selangor selama dua jam lagi sehingga jam 7 petang tetapi beberapa pengundi mendakwa pegawai pengurus pilihanraya di sesetengah tempat, enggan melanjutkan tempoh itu.
Kekalutan
Low Choong Hing, seorang eksekutif jualan berusia 52 tahun berkata beliau disuruh ke sana ke mari di pusat pengundian Sekolah Menengah Puchong Indah walaupun namanya telah disahkan lebih awal oleh SPR.
Lokman Mohamed Zen, 47, yang kecewa dengan masalah itu memutuskan untuk tidak mengundi selepas menunggu selama empat jam di sekolah berkenaan.
Semasa ditanya kenapa telah berlaku kekeliruan sebegitu rupa, seorang pegawai pengurus pilihanraya berkata: "Kita lakukan ini hanya sekali dalam lima tahun (tentunya kesilapan boleh berlaku),"
Tetapi jawapan sedemikian bertentangan dengan ikrar Perdana Menteri untuk memastikan sistem pengendalian kerajaan yang cekap, kata seorang pemilih.
Sikap sedemikian pada pegawai kerajaan sudah pastinya tidak diterima baik oleh Abdullah, katanya.
Bagaimanapun sebagai berlaku adil, tidak semua pusat pengundian berlaku kekalutan seumpama itu. Pusat pengundian di kawasan baru Setiawangsa di sini contohnya, menyaksikan proses pengundian berjalan lancar sepanjang hari.

