PAS Perlis: Serangan peribadi perlu untuk bongkar kesalahan
Peraturan kempen pilihanraya yang tidak membenarkan serangan peribadi menghalang calon calon parti PAS daripada membongkarkan sebarang penyalahgunaan kuasa and perbuatan rasuah pihak lawan, terutamanya dari Umno.
Peraturan kempen pilihanraya yang tidak membenarkan serangan peribadi menghalang calon calon parti PAS daripada membongkarkan sebarang penyalahgunaan kuasa and perbuatan rasuah pihak lawan, terutamanya dari Umno.
Malah parti PAS merasakan peraturan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kali ini menyebabkan mereka tidak bebas untuk bersuara langsung.
Rasa ketidakpuasan hati mereka ini telah disuarakan dalam satu ceramah umum PAS sempena pilihanraya ke-11, di Kampung Rama, Sanglang, Perlis malam tadi.
Ceramah yang disampaikan oleh Dr Haron Din dan Ustaz Hashim Jasin dihadapan kira-kira 900 orang penyokong PAS turut dihadiri oleh Menteri Besar Terengganu dan presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
Menurut Hashim, yang juga merupakan ADUN Sanglang, kempen mereka pada masa kini sudah tidak boleh lagi menegur pihak lain walaupun pihak tersebut berbuat salah.
Selain itu mereka juga turut dilarang agar tidak menyebut perkara yang berkaitan dengan kebaikan.
Pada pilihanraya ini Hashim akan cuba mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada tahun 1999. Beliau akan dicabar oleh calon Umno Datuk Mastika Junaidah Hussin.
Pada tahun 1999, Hashim mengalahkan calon Umno Karim Saleh dengan kelebihan undi 333. Hashim memperolehi 3,245 undi berbanding dengan 2,912 oleh Karim.
Arau menjadi harapan
"Kempen sekarang tak leh tegur, tak keh kata amil makruf, nahi mungkar...peraturan-peraturan ketat seolah-olah orang PAS jahat, orang Umno baik semua. Kalau orang PAS jahat, banyak dah darah mengalir dalam ceramah," katanya.
Tambah beliau lagi, Umno tidak berani dengan serangan peribadi kerana mereka banyak membuat kesalahan.
Mengulas tentang peluang parti PAS untuk kerusi parlimen Arau, Hashim menyatakan bahawa melalui risikan yang sampai kepadanya, dikatakan suasana di kawasan Arau sama seperti pilihanraya kecil pada tahun 1998, dimana PAS memenanginya.
Calon PAS untuk kerusi Arau adalah Datuk Dr Haron Din yang akan berdepan dengan calon Umno Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail. Kerusi ini dikosongkan oleh Datuk Mastika yang kini tanding untuk kerusi DUN Sanglang.
Haron dalam ceramahnya pula menyamakan penggunaan al-Quran sebagai pedoman hidup kepada manual kereta yang diperlukan untuk menjadi rujukan.
"Kalau kereta itu nak dengan petrol, digantikan dengan diesel, lingkuplah kereta tu, ikut manual dia kereta selamat. Kita pula perlukan al-Quran sebagai manual dalam kehidupan kita," tambahnya lagi.
Haron juga akan menentang ketua Umno serta Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassin di DUN Tambun Tulang. Pada tahun 1999, Shahidan mengalahkan calon PAS Ismail Ahmad dengan kelebihan undi sebanyak 877. Shahidan dapat 3,464 undi berbanding dengan 2,587 untuk Ismail.
Sementara itu, Abdul Hadi dalam ceramahnya lebih banyak menekankan tentang kemajuan yang dicapai oleh PAS negeri Terengganu semasa pemerintahan PAS.

