Tempoh sejam untuk dapat semula deposit
Calon-calon yang berhasrat untuk menarik diri pada hari penamaan calon esok, diberi tempoh satu jam untuk mendapat semula wang deposit masing-masing.
Calon-calon yang berhasrat untuk menarik diri pada hari penamaan calon esok, diberi tempoh satu jam untuk mendapat semula wang deposit masing-masing.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata tempoh tersebut ialah dari jam 9 hingga 10 pagi, iaitu tempoh penerimaan kertas penamaan.
"Oleh sebab itu, mereka (calon) perlu benar-benar pasti mahu bertanding dalam pilihanraya ini, terutama dalam tempoh sejam itu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Selepas jam 10 pagi esok, wang deposit mereka akan lupus walaupun SPR telah menetapkan dalam peruntukan baru bahawa calon mempunyai tempoh tiga hari untuk menarik diri.
Katanya, wang deposit RM10,000 untuk calon Parlimen dan RM5,000 untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dibayar secara tunai semasa menyerahkan kertas penamaan calon.
Apabila seseorang itu telah diisytiharkan menjadi calon, katanya, Pegawai Pengurus SPR dikehendaki memberi secara percuma buku panduan calon dan senarai daftar pemilih kepada mereka.
Deposit kempen
"Buku ini perlu dibaca oleh calon kerana banyak perkara yang perlu difahaminya dan Pegawai Pengurus juga akan memberi percuma senarai daftar pemilih bagi bahagian yang dia bertanding," katanya.
Menurut Bernama beliau juga mengingatkan calon supaya membayar deposit bahan berkempen iaitu RM5,000 bagi Parlimen dan RM3,000 untuk kawasan DUN.
"Kalau calon itu tidak bayar, bahan kempen seperti poster tidak boleh dipasang dan SPR berhak menurunkan poster atau gambar calon berkenaan," katanya.
Sementara itu, kira-kira 5,000 kertas penamaan calon telah habis dijual di seluruh negara sejak mula dijual Ahad lalu.
Daripada jumlah itu, sejumlah 3,500 kertas penamaan adalah bagi calon DUN manakala 1,500 lagi bagi calon Parlimen, katanya.
Menurutnya, kertas penamaan calon itu yang dijual pada harga RM20 satu set akan terus dijual sehingga 10 pagi esok.

