Rafidah dan Nazri Aziz bertanding semula
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datin Seri Rafidah Aziz dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi parlimen
Kuala Kangsar
dalam pilihanraya umum kali ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datin Seri Rafidah Aziz dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi parlimen Kuala Kangsar dalam pilihanraya umum kali ini.
Manakala Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz menjadi menjadi bahan spekulasi hangat baru-baru ini dicalonkan semula untuk bertanding kawasan Parlimen baru Padang Rengas (dulunya Chenderoh).
Walaupun ramai yang menjangka kedua-dua pemimpin ini akan digugurkan berikutan siasatan yang dijalankan terhadap mereka berhubung dakwaan salahguna kuasa, tetapi nama mereka turut tersenarai untuk mempertahan kerusi parlimen masing-masing.
Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor pula dicalonkan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di Kerusi Parlimen baru Putrajaya.
Seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin akan bertanding kerusi Parlimen Parit Buntar, yang dijangka dipertahankan oleh calon PAS Datuk Hassan Ali.
Seperti yang telah diumumkan, Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu mempertahankan kerusinya di Sungai Siput. Manakala setiausaha agung MCA, Tan Sri Dr Ting Chew Peh dipilih bertanding kerusi Parlimen Gopeng.
Turut dikekalkan ialah Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Ahmad Zahid Hamidi. Pengerusi Umno Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali bertanding bagi kerusi negeri Pengkalan Hlu.
Azimi terpilih
Hampir 60 peratus calon Barisan Nasional bagi negeri Kedah terdiri daripada muka baru iaitu sembilan bagi kerusi Parlimen dan 21 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ini termasuk kemunculan semula Datuk Dr Afifuddin Omar yang digugurkan daripada senarai calon dalam pilihanraya umum 1999. Bekas ahli Parlimen Padang Terap itu, kali ini dicalonkan bagi kerusi DUN Kuala Terap.
Akhirnya spekulasi mengenai kedudukan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zin terjawab bila beliau dicalonkan untuk mengekalkan kerusi lamanya di DUN Kubang Rotan.
Di samping itu, seperti yang diramalkan, bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin diletakkan bertanding di Parlimen Merbok, manakala naib ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dicalon bagi kawasan DUN Kuala Ketil.
Turut dicalonkan ialah ketua penerangan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Azimi Daim yang diletakkan di kerusi DUN Bandar Baru.
Bagi kerusi Parlimen pula, antara muka baru dikemukakan kali ini ialah pakar motivasi terkenal Datuk Dr Masitah Ibrahim yang diletakkan bertanding menentang calon PAS Taib Azamuddin di Baling.
18 muka baru
Manakala Rozaid Sopian pula dipindahkan dari DUN Sungai Tiang kepada kerusi Parlimen Pendang. Penyandangnya Datuk Osman Abdul tidak dicalonkan semula.
Yang dikekalkan di kerusi Parlimen masing-masing ialah Datuk Abu Bakar Taib (Langkawi), Datuk Paduka Abdul Kadir Syeikh Fadzir (Kulim/Bandar Baru), Datuk Mahadzir Mohd Khir (Sungai Petani), Datuk Badruddin Amiruldin (Jerai) dan Datuk Chor Chee Heung (Alor Star).
Di Terengganu pula, BN menyenaraikan enam muka baru untuk bertandingan kerusi Parlimen dan 18 muka baru bagi menyaingi PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum kali ini.
Berikutan itu, beberapa muka lama digugurkan daripada senarai kali ini termasuk Ahli Majlis Teringgi Umno, Datuk Dr Yusof Nor yang bertanding kerusi Parlimen Besut dalam pilihanraya umum lalu.
Seorang lagi yang digugurkan daripada senarai DUN kali ini ialah penyandang kerusi Seberang Takir, Datuk Abdul Rashid Ngah. Tempat beliau digantikan oleh muka baru Mohamed Shapian Ali.
Turut digugurkan ialah Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor yang bertanding Parlimen Setiu pada 1999. Yang lainnya ialah veteran Umno Terengganu, Datuk Abu Bakar Daud (Kuala Terengganu) dan Datuk Muda Mamat (Marang). Kesemua mereka tewas dalam pilihanraya umum lalu.
Berikutan itu, bagi kerusi Parlimen, BN negeri mencalonkan muka baru, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamed Zin (Besut), Mohamed Yusop Majid (Setiu), Che Azmi Abdul Rahman (Kuala Nerus), Razali Ismail (Kuala Terengganu), Datuk Abdul Rahman Bakar (Marang) dan Ahmad Shaberry Cheek (Kemaman).
Muka lama
Kerusi Parlimen Hulu Terengganu pula diwakili oleh Tengku Putera Tengku Awang yang menang DUN Telemung pada 1999. Manakala Parlimen Gunung diwakili oleh Datuk Rosli Mat Hassan (sebelum ini DUN Paka).
Sementara itu, Datuk Abdul Rahin Said yang bertanding kerusi Parlimen Kuala Nerus pada 1999, kali ini diberi kepercayaan untuk bertanding DUN Teluk Pasu.
Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Idris Yusof pula berpindah dari DUN Kampung Raja (kini DUN Kota Putera) kepada DUN di Jertih.
Empat belas muka lama dikekalkan termasuk Rosol Wahid (Ajil), Datuk Tengku Zainuddin Tengku Zahid (Ru Rendang) dan Ahmad Said (Kijal), Datuk Mohamad Bakar Ali (kekal), Datuk Dr Abdul Latif Awang (Bukit Payung).
Bagi DUN pula, 18 muka baru disenaraikan kali ini termasuk ketua Pemuda Umno negeri, Din Adam yang bertanding DUN Bukit Besi.
Di Wilayah Persekutuan, penyandang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dikekalkan bertanding di Parlimen Lembah Pantai. Begitu juga Datuk Tan Chai Ho di Bandar Tun Razak manakala Datuk Zulhasnan Rafique bertanding kerusi baru Setiawangsa.
Datuk Sulaiman bagaimanapun digugurkan dalam senarai kali ini.

