Setiausaha agung PAS, Nasharuddin Mat Isa tidak disenaraikan oleh parti itu untuk bertanding mempertahankan kerusi parlimennya di Kedah dalam pilihanraya umum kali ini.

Beliau sebelum ini ialah ahli Parlimen Kawasan Yan. Selepas persempadanan semula kawasan pilihanraya, kawasan berkenaan kini dikenali sebagai Parlimen Jerai [lihat carta].

Nama beliau tidak termasuk dalam senarai calon yang diumumkan oleh PAS dan Keadilan Kedah, yang mengetengahkan 23 muka baru.

Bagaimanapun, Mahfuz Omar dan Mohamad Sabu disenaraikan untuk mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing di Pokok Sena dan Kuala Kedah. Mohamad juga dicalon bertanding di kerusi negeri Alor Mengkudu.

Dalam pilihanraya umum kali ini, PAS akan bertanding di 27 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 10 Parlimen manakala Keadilan pula bertanding di sembilan kerusi negeri dan lima Parlimen. Kedah mempunyai 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi negeri.

Tempat lain

Menurut laporan Bernama, Pesuruhjaya PAS Kedah, Azizan Abdul Razak, ketika ditanya mengenai perkara itu, berkata: "Oleh kerana beliau popular, kami hantar beliau ke tempat lain."

Beliau dicalonkan bertanding di Besut, Terengganu.

Azizan (gambar) juga dicalonkan berbertanding dua kerusi kerusi Parlimen Sik dan DUN Sungai Limau. Taib Azamuddin Taib yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Baling, juga akan bertanding DUN Bayu.

Pada sidang berita bersama naib presiden Parti Keadilan Nasional, Saifuddin Nasution Ismail, juga enggan memberitahu di mana Nasharuddin akan bertanding.

Menurut Azizan lagi, 13 daripada calon PAS adalah muka baru termasuk dua calon wanita Dr Rohani Abdul Mutalib, seorang doktor perubatan bagi DUN Jitra, dan bekas guru, Aishah Ghazali di kawasan negeri Merbau Pulas.

Muka baru

Dua lagi muka baru ialah peguam Mohd Afif Abdullah, 28, bagi DUN Guar Chempedak, dan pensyarah Universiti Utara Malaysia yang bersara hari ini, Dr Abd Isa Ismail, 56, yang akan bertanding kerusi Parlimen Kubang Pasu, kawasan yang sekian lamanya diwakili oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Saifuddin pula berkata beliau tidak akan mempertahankan kerusi negeri Lunas tetapi akan bertanding di Kubang Rotan dan di kawasan Parlimen Padang Serai. Naib presiden parti itu, Tian Chua, akan bertanding di Lunas.

Antara muka baru yang disenaraikan oleh Keadilan ialah Saiful Izham Ramli, seorang daripada peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang akan bertanding di kawasan Parlimen Merbok.