PAS: Pengundi mahu calon tempatan
Jentera pilihanraya PAS tetap menyokong calon pilihan Parti Keadilan Rakyat yang bertanding di Parlimen Kota Bharu, walaupun pucuk pimpinan PAS negeri membantah cadangan parti itu untuk meletakkan calon bukan tempatan.
Jentera pilihanraya PAS tetap menyokong calon pilihan Parti Keadilan Rakyat yang bertanding di Parlimen Kota Bharu, walaupun pucuk pimpinan PAS negeri membantah cadangan parti itu untuk meletakkan calon bukan tempatan.
Ketua Penerangan PAS Kelantan, yang juga yang dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata PAS negeri telahpun memberi jaminan akan menyokong sesiapa sahaja yang dicalonkan oleh Keadilan bagi kerusi tersebut.
Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali, dijangka dicalonkan bagi kerusi berkenaan. Beliau juga dilihat berada di pejabat Keadilan Kelantan, Isnin lalu.
Wan Abdul Rahim juga mengakui PAS negeri memang tidak begitu bersetuju dengan pemilihan calon dari luar tetapi tidak mahu perkara itu menjejaskan kelicinan jentera pilihanraya.
Sekiranya Keadilan bertegas untuk meletakkan juga calon terbabit, beliau berkata, PAS Kelantan tetap memberi sokongan atas sifatnya sebagai parti komponen Barisan Alternatif (BA) bagi memastikan Barisan Nasional (BN) tidak menang kerusi tersebut.
Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas laporan Bernama yang menyebut Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata pihaknya tidak yakin Syed Husin akan menang di situ.
Isu bantahan
"Apabila kita letak calon, kita nak menang tetapi orang begini (berfahaman sosialis) saya tak yakin menang," Bernama memetik Nik Aziz memberitahu di pejabatnya di Kota Bharu hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Politik Nik Aziz, Anual Bakri Haron, ketika dihubungi berkata, isu sosialis itu bukanlah isu pokok bantahan tersebut.
"Pendirian kita ialah kita mahu calon tempatan untuk mewakili Keadilan dan sekaligus BA. Kita tidak mahu calon impot diletak bertanding di Kota Bharu," katanya.
Menurutnya, berdasarkan kepada sentimen politik semasa jelas para pengundi di Kota Bharu, mahukan calon tempatan diletakkan di situ.
Ditanya mengenai keputusan PAS untuk meletakkan ketua Pemuda PAS pusat, Salahudin Ayob bertanding di Parlimen Kubang Krian walaupun beliau berasal dari Johor, Anual berkata: "Kecuali di Kota Bharu, ia tidak menjadi di kawasan Parlimen lain di Kelantan."
"Lagi, kami mendapat tahu Umno akan mencalonkan timbalan ketua Umno Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim yang dianggap pencabar yang kuat. Oleh itu, kita perlu berhati-hati meletakkan calon, bagi memastikan kemenangan."
Sekolah Cina
Sementara itu, Syed Husin ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara itu kerana ianya masih dalam perbincangan dan hanya akan diputuskan lewat hari ini. Beliau akan mengadakan satu sidang akhbar pagi ini.
Dalam pilihanraya umum 1999, calon Keadilan bagi Parlimen Kota Bharu, Ramli Ibrahim menang dengan majoriti 10,206 undi, menewaskan Ilani Ishak (BN) dan Mohd Din Nizam Din(Berjasa). Ramli memperoleh 26,723 undi, Ilani mendapat 16,517 undi manakala Mohd Din hanya meraih 409 undi
Sementara itu, Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan juga dilaporkan Bernama sebagai berkata kerajaan negeri bersetuju menimbang permohonan sekolah Cina menengah swasta Chong Hwa Kok Lanas dekat sini mendapatkan bantuan kewangan dengan mengusahakan ladang hutan milik kerajaan.
"Bantuan ini selaras dengan dasar kerajaan negeri membantu institusi pendidikan sama ada sekolah agama mahupun sekolah swasta Cina," katanya.
Beliau menafikan bahawa tindakan kerajaan negeri itu sebagai usaha memancing undi kaum Cina.

