DBKL nafi dana persatuan biayai program menteri
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan bahawa dana yang diperuntukkan bagi aktiviti persatuan perumahan rakyat tahun lalu, digunakan bagi membiayai majlis yang dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin.
Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, DBKL berkata, dakwaan yang dibuat oleh ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar itu adalah "tidak tepat dan tidak benar".
Menurut DBKL dalam satu kenyataan, majlis itu hanya menyediakan bantuan logistik dan sedikit makanan sebagai menampung aktiviti sosial yang hendak dilaksanakan oleh pihak Persatuan Penduduk "berdasarkan peruntukan yang ada."
Ini adalah dana lain selain peruntukan tunai RM5,000 setahun untuk menyokong aktiviti-aktiviti sosial Persatuan Penduduk yang aktif di Kuala Lumpur dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.
Ia juga menyatakan bahawa program anjuran NGO dan DBKL adalah untuk memenuhi objektif pembangunan sosial.
Menurut DBKL, Raja Nong Chik menghadiri acara-acara berkenaan atas jemputan dari pihak penganjur.
“Kedatangan Raja Nong Chik atau mana-mana pegawai kanan kerajaan ke majlis sosial yang diaturkan adalah atas asas jemputan penganjur atau NGO-NGO yang berkenaan sebagai perasmi.
“Ia adalah atas jawatan beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab di atas portfolio yang telah diamanahkan oleh pihak kerajaan dan bukannya berlandaskan politik," petik kenyataan itu lagi.
Pada Jumaat lalu, Nurul Izzah pada sidang medianya mendakwa penduduk dalam kawasan parlimennya mengadu bahawa permohonan mereka untuk aktiviti persatuan perumahan rakyat telah ditolak oleh DBKL dan duit tersebut digunakan untuk membiayai "program Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin".
Mengesahkan perkara tersebut, ahli jawatankuasa penduduk Apartmen Sri Putra Abdul Rahim Mohd Noor berkata program mencegah kebakaran yang dijadualkan April 2011 telah dibatalkan disebabkan alasan berkenaan.
[Baca berita penuh]

