Parti-parti politik di Kedah tidak dibenarkan mengadakan ceramah serentak dan berdekatan antara satu sama lain sepanjang tempoh kempen pilihanraya umum kali ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Mohamed Supian Amat berkata polis tidak akan mengeluarkan permit jika ceramah diadakan pada tarikh, masa dan di tempat yang berdekatan antara satu sama lain.

"Polis mungkin mengeluarkan permit kepada satu pihak sahaja atau untuk menjaga hati semua pihak, kesemua permit ceramah yang berlainan parti itu akan dibatalkan pada tarikh tersebut," katanya.

Penamaan calon bagi pilihanraya umum ke-11 ini akan diadakan pada 13 Mac ini manakala pengundian berlangsung pada 21 Mac depan.

Bercakap dalam satu sidang media di Alor Star hari ini, beliau juga berkata, polis akan memproses permohonan ceramah secepat mungkin.

Unit khas

Menurut Bernama, Mohamed Supian berkata, kelulusan ceramah juga tertakluk kepada perjalanan dan keadaan lalulintas semasa bagi mengelak kesesakan lalulintas.

Menurut Mohamed Supian lagi, semua anggota polis yang bertugas sepanjang pilihanraya ini sudah selesai menjalani latihan dan taklimat penugasan serta aspek-aspek mengenai kesalahan pilihanraya.

Seramai 6,071 anggota, termasuk pegawai, terlibat dalam kawalan keselamatan pada pilihanraya di negeri ini, katanya.

"Mereka termasuk 4,460 polis dari kontijen Kedah, 1,445 anggota dari Bukit Aman dan juga masing-masing satu unit polis simpanan persekutuan, unit udara dan unit tindakan khas," katanya.

Selain itu, katanya Unit Tindakan Ringan dari kontijen polis Kedah akan turut digerakkan bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman awam.