Samy Vellu: Saya tidak gentar cabaran Jeyakumar
Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata beliau tidak gentar sekiranya aktivis masyarakat dan pemimpin kanan parti PSM, Dr D Jeyakumar mencabarnya sekali lagi di kawasan Parlimen Sungai Siput dalam pilihanraya umum kali ini.
Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata beliau tidak gentar sekiranya aktivis masyarakat dan pemimpin kanan parti PSM, Dr D Jeyakumar mencabarnya sekali lagi di kawasan Parlimen Sungai Siput dalam pilihanraya umum kali ini.
Sebaliknya, menurut Bernama, beliau yakin bertanding mempertahankan kerusi parlimen itu kerana sikap bertanggungjawabnya kepada parti BN dan rakyat.

"Dahulu saya ada melihat calon-calon yang lebih kuat dari beliau (Jeyakumar). Jadi kalau nak bertanding 50 kali pun saya tidak takut," katanya.
Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini bahawa Jeyakumar akan bertanding bagi kali kedua untuk menentangnya di kawasan itu pada pilihan raya umum akan datang.
Sebelum itu, Samy Vellu yang juga Menteri Kerjaraya menyampaikan Anugerah Biasiswa Binary-Presiden MIC berjumlah RM4.5 juta kepada lebih 600 pelajar keturunan India di Puchong hari ini.
Dalam pilihanraya umum 1999, Jeyakumar bertanding atas tiket DAP menentang Samy Vellu. Bagaimanapun, beliau tewas kepada Samy Vellu dengan majoriti 5,259 undi.
Faktor calon
Sementara itu, di Kedah, Barisan Nasional (BN) dilaporkan bersiap sedia untuk bertapak semula di kubu lamanya di kerusi Parlimen Kuala Kedah yang jatuh ke tangan PAS dalam pilihanraya umum 1999.
Ini kerana kekalahan BN dalam pilihanraya lalu dipercayai disebabkan faktor calonnya yang tidak dapat diterima oleh masyarakat tempatan. Selain itu, calon PAS, Mohamad Sabu cuma menang dengan majoriti 991 undi.
Menurut Bernama, BN juga yakin dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit dan Pengkalan Kundur yang dikuasai PAS juga akan berjaya dirampas semula selepas dikatakan berjaya memenangi hati pengundi atas pagar.
Kerusi DUN Pengkalan Kundur pula dimenangi calon PAS Pahrolrazi Mohd Zawawi hanya dengan majoriti kecil 675 undi. Bagaimanapun PAS memenangi kerusi DUN Anak Bukit dengan majoriti agak besar 1,840 undi kerana calonnya ketika itu ialah presidennya sendiri, Datuk Fadzil Noor.
Satu lagi kerusi DUN dalam kawasan parlimen tersebut, Kubang Rotan, dimenangi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dengan majoriti 1,985 undi.
Syed Razak menjadi ketua Umno bahagian Kuala Kedah, apabila Datuk Zakaria Said melepaskan jawatannya selepas pilihanraya umum yang lalu.
Tiada percakaran
Bagaimanapun, dalam pilihan raya kecil DUN Anak Bukit yang diadakan selepas kematian Fadzil pada 2002, BN belum mampu merampasnya semula apabila Zakaria tewas kepada calon PAS, Amiruddin Hamzah dengan majoriti 569 undi.
Bagaimanapun, Syed Razak yang juga pengerusi BN negeri, yakin dengan kemampuan jentera Umno untuk merampas kembali kawasan-kawasan yang jatuh ke tangan PAS kerana keadaan politik semasa, yang menurutnya, memihak kepada BN.
Selain itu, katanya, beliau tidak nampak adanya berlaku percakaran dalam parti dan tidak ada usaha untuk jatuh menjatuh dan cantas mencantas di kalangan pemimpin Umno negeri.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Bahagian Kuala Kedah, Zuraini Kamal, yang juga timbalan ketua Puteri Umno Kedah, berkata masyarakat setempat, terutama golongan muda, begitu komited dengan setiap aktiviti yang dijalankan oleh Puteri.
"Anak-anak penyokong pembangkang turut berminat untuk mengambil bahagian dalam aktiviti kita dan mereka yang cenderung kepada pembangkang mula mesra dan mahu mendekati Puteri," katanya.
Beliau berkata kelas tuisyen bahasa Inggeris untuk pelajar sekolah rendah yang dikendalikan Puteri Umno Kuala Kedah, mendapat sambutan menggalakkan termasuk dari anak-anak ahli PAS.

