Sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan Isnin ini ditangguhkan sehingga selesai pilihanraya umum ke-11 berikutan pembubaran Parlimen esok, kata Speaker Dewan Rakyat Tun Mohamed Zahir Ismail.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pagi ini bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan membubarkan Parlimen ke-10 berkuatkuasa esok untuk membolehkan Pilihanraya Umum ke-11 diadakan.

Abdullah mengadap Seri Paduka pagi ini dan menurut kenyataannya, Seri Paduka telahpun menandatangani perisytiharan pembubaran Parlimen pada hari ini.

Menurut Bernama, Mohamed Zahir berkata, Dewan Rakyat tidak perlu memaklumkan mengenai pembubaran Parlimen kepada anggota-anggotanya berikutan pengumuman Abdullah.

Setakat pembubaran Parlimen ke-10, Dewan Rakyat mempunyai 193 anggota iaitu 152 daripada parti memerintah Barisan Nasional dan selebihnya pembangkang termasuk dari PAS dan DAP.

Pilihanraya Umum ke-11 akan menyaksikan perebutan untuk 219 kerusi Parlimen termasuk kerusi baru Putrajaya yang diwujudkan ekoran persempadanan semula kawasan pilihanraya.

Sejak beberapa bulan lepas, dewan persidangan melalui kerja-kerja pengubahsuaian bagi menampung tambahan anggota Dewan Rakyat.

Menghadap

Mohamed Zahir berkata jika tidak kerana pembubaran Parlimen yang diumumkan hari ini, satu raptai dijadualkan berlangsung esok bagi majlis pembukaan persidangan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan esok, serentak dengan pembubaran Parlimen.

Beliau akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris di Istana Alam Shah, Klang pada pukul 4.30 petang ini bagi mendapat perkenan baginda.

Dr Mohamad Khir yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor telah mensasarkan untuk membebaskan Selangor daripada pembangkang menerusi slogan "Pembangkang Sifar" dalam pilihanraya umum kali ini.

Dalam pilihanraya 1999, BN memenangi kesemua 17 kerusi Parlimen dan 42 daripada 48 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Kerusi DUN yang dikuasai pembangkang ialah Kajang, Sungai Besar, Sungai Burung dan Gombak Setia (semua oleh PAS), Bandar Klang (DAP) dan Hulu Klang (Keadilan).

Menerusi persempadanan semula kawasan pilihan raya, Selangor kini mempunyai 22 kerusi Parlimen dan 56 DUN.