Saranan tubuh badan bebas siasat isu Scope
Sebuah badan penyiasatan yang bebas dan berwibawa perlu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berhubung pembabitan syarikat milik anak Perdana Menteri yang mengeluarkan komponen untuk unit centrifuge yang dikaitkan dengan proses peningkatan uranium yang dihantar ke Libya.
Sebuah badan penyiasatan yang bebas dan berwibawa perlu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berhubung pembabitan syarikat milik anak Perdana Menteri yang mengeluarkan komponen untuk unit centrifuge yang dikaitkan dengan proses peningkatan uranium yang dihantar ke Libya.
Ketika membuat gesaan tersebut, Majlis Transparensi Malaysia (MTM) berpendapat langkah itu akan dapat memastikan satu siasatan yang lebih telus dilakukan bagi memberi penjelasan sebenar berhubung perkara tersebut.
Sambil merujuk kepada laporan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai isu tersebut, setiausaha MTM, Husam Musa berkata, adalah sangat mustahil untuk menerima penjelasan bahawa syarikat Scomi Precision Engineering Sdn Bhd (Scope), tidak tahu menahu tentang tujuan penggunaan alat tersebut.
Seperti yang dilaporkan dalam media, siasatannya PDRM mendapati Scope, anak syarikat Scomi Group Bhd, yang turut dimiliki oleh Kamaruddin Abdullah, anak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah diperdaya ahli perniagaan Sri Lanka, BSA Tahir, untuk mengeluarkan komponen tertentu dalam unit centrifuge.
Malah, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Omar, Scope juga didapati tidak menyedari komponen yang dieksportnya adalah sebahagian komponen dalam unit centrifuge untuk proses peningkatan uranium yang dihantar ke Libya.
Menurutnya lagi, pengurusan Scope menyertai perniagaan Tahir dengan menganggapnya sebagai urusan perniagaan yang sah untuk mengeluarkan komponen bagi peralatan petroleum dan gas.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Husam yang juga Ahli Parlimen PAS Kubang Krian, berkata, jika Scope terlibat dalam urusniaga tersebut semata-mata kerana diperdayakan Tahir, ia menunjukkan bahawa pihak pengurusan syarikat berkenaan adalah begitu lemah sekali.
Layanan istimewa
"Jika Tahir memperdaya dan seterusnya berjaya mendapat alat tersebut dari Malaysia, kenapa pihak keselamatan Malaysia tidak mengambil tindakan terhadapnya sehingga hari ini," katanya dalam satu kenyataan.
Husam juga mempersoalkan mengapa tindakan terhadap pihak yang terbabit dalam isu tersebut sangat berbeza dan layanan lebih istimewa jika dibandingkan dengan tindakan terhadap anggota Kumpulan Mujahiddin, Jemaah Islamiyah Malaysia (JI) dan kumpulan Reformasi.
"Adakah ini kerana orang yang terlibat adalah anak Perdana Menteri Malaysia?" soal Husam.
Oleh itu, tegas beliau, bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu tersebut, maka perlunya siasatan yang lebih telus dijalankan oleh pihak-pihak yang lebih bebas dan berwibawa.
PDRM memulakan siasatan terhadap dakwaan pembabitan Scope selepas dua pegawai risikan mewakili Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) dan badan perisik Britain, M16, menemui Pengarah Cawangan Khas di Bukit Aman pada 10 November tahun lalu mengenai rangkaian antarabangsa yang didakwa terbabit dalam pemindahan teknologi nuklear ke negara dunia ketiga.
Maklumat itu termasuk pembabitan seorang pakar senjata nuklear dari Pakistan dalam kegiatan penularan teknologi nuklear Pakistan ke negara ketiga, terutama Libya.
Manakala Presiden Amerika, George Bush dalam ucapannya di National Defence University di Amerika pada 11 Februari lalu mengenai penularan teknologi nuklear dalam pasaran gelap, membuat lima kali rujukan terhadap Malaysia sebagai pusat pengeluaran centrifuge, komponen diperlukan untuk penghasilan teknologi senjata nuklear.
Bagaimanapun, Setiausaha Rendah bagi Kawalan Senjata dan Keselamatan Antarabangsa Amerika, John Bolton kemudiannya berkata di Beijing, Washington tidak pernah menyatakan kerajaan Malaysia terbabit.

