Kasitah temui Pak Lah pagi tadi
Tan Sri Kasitah Gaddam menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi tadi sebelum perdana menteri berlepas ke Teheran untuk menghadiri Sidang Kemuncak D-8.
Tan Sri Kasitah Gaddam menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi tadi sebelum perdana menteri berlepas ke Teheran untuk menghadiri Sidang Kemuncak D-8.
Kasitah menemui Abdullah di kediaman Perdana Menteri di Putrajaya, lima hari selepas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi itu didakwa di mahkamah kerana rasuah dan menipu.
Kasitah tiba di kediaman rasmi Abdullah dengan menaiki Proton Perdana berwarna perak pada jam 7.40 pagi. Manakala Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman tiba kira-kira 40 minit kemudian.
Bagaimanapun, menurut Bernama , tidak dapat dipastikan apa yang berlaku di kediaman Perdana Menteri itu tetapi Abdullah dilihat mengiringi Kasitah ke pintu utama kediaman berkenaan pada jam 8.35 pagi.
Kasitah kemudiannya menaiki kenderaannya yang dipandu laju meninggalkan kediaman perdana menteri itu.
Wartawan yang menunggu di pintu depan rumah itu sejak awal pagi kecewa kerana kenderaan Kasitah dipandu laju di hadapan mereka.
Gagal
Abdullah kemudiannya meninggalkan rumahnya pada pukul 8.50 pagi untuk menaiki pesawat ke Teheran bagi menghadiri Sidang Kemuncak D-8
Tanpa menghentikan kenderaan, Perdana Menteri menurunkan cermin kereta dan melambaikan tangan kepada media. Samsudin juga meninggalkan kediaman Perdana Menteri tanpa bercakap kepada wartawan
Kedudukan Kasitah dalam Kabinet menjadi tumpuan berikutan penahanan dan kemudiannya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Khamis lepas.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan membabitkan penjualan saham-saham Sapi Plantation Sdn Bhd milik Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (SLDB) pada 1996, ketika bertugas sebagai pengerusi eksekutif SLDB.
Semalam Abdullah
berkata
beliau mahu berjumpa dengan Kasitah terlebih dahulu dan mendengar penjelasan menteri itu sebelum membuat keputusan mengenai kedudukannya.
"Biar saya jumpa dulu, nanti saya cakap. Saya akan dengar apa dia nak cakap," katanya.

