MUSA HITAM, ketika merasmikan mesyuarat tahunan cawangan-cawangan Umno dalam bahagian Johor Bahru pada 19 Februari, 2000. Teks ini tidak disunting kecuali membetulkan beberapa ejaan. Bahagian kedua esok bertajuk 'Konsep setia Umno bercelaru!'

Semenjak berundur diri selepas pemilihan pucuk pimpinan Umno pada tahun 1987, saya telah berdiam diri daripada membuat apa-apa kenyataan pergolakan politik dalam Umno. Banyak juga yang tertanya-tanya apakah benar-benar saya telah bersara atau apakah pendiaman saya ini merupakan satu taktik atau strategi semata-mata?

Alhamdulillah, selama 13 tahun saya telah berjaya mendisiplinkan diri daripada pulang aktif ke gelanggang politik Umno. InsyaAllah saya akan terus berbuat pendirian sama iaitu, saya tidak bercadang aktif semula dalam politik.

Memang sukar hendak diterima atau dipercayai pendirian begini rupa. Tetapi kepada saya inilah pendirian yang sesuai bagi Umno selagi kita ingin terus mengamalkan demokrasi dan ingin mewakili rakyat dengan ertikata yang sebenar. Saya berpendapat bahawa selagi ramai ketua-ketua atau penganjur yang sedia atau ingin dengan sukarela berundur dan memberi tempat kepada bakat-bakat muda dan baru, selagi itulah kita akan terus disokong oleh rakyat sebagai mewakili rakyat. Kalau tidak, parti kita semakin terpisah daripada masyarakat.

Janganlah hendaknya kita sekali-kali lupa bahawa kita ini wujud sebagai parti politik untuk berkhidmat kepada rakyat sebagai wakil rakyat, bukan mewakili diri kita sendiri atau puak kita sendiri. Sama ada kita terus diterima atau tidak, rakyat sendiri yang akan menentukan. Kalau kita dilanda oleh penyakit tua (umur Umno sudah 54 tahun!), rakyat akan mencari arah lain sebagai wakil mereka.

Kuasa yang diamanatkan kepada kita selama ini ialah bertujuan digunakan kuasa itu dengan adil saksama, dan dengan penuh insaf atas tanggungjawab bagi kepentingan rakyat semata-mata. Kalau melanggar prinsip-prinsip ini, lambat-laun, hilang berkatnya. Apabila hilang berkat bercelarulah, berkucar-kacirlah dan akhirnya terbenamlah kita.

Kuasa sememangnya mengkhayalkan. Selagi bertambahnya seseorang manusia itu dengan kuasa selagi itu jugalah pula ianya bertambah tamakkan kuasa itu.

Lebih-lebih lagi di dalam keadaan di mana sesuatu masyarakat itu mengukur kejayaan berasaskan pencapaian kebendaan, kuasa semakin lama semakin digunakan sebagai alat pencapaian kebendaan dan seterusnya pula, pencapaian kebendaan itu sendiri pula digunakan untuk mengekalkan kuasa atau menambah kuasa.

Waktu saya mula berkecimpung dalam politik Umno dahulu sebagai Setiausaha Politik Datuk Sardon dan berterusan sebagai Setiausaha Kerja Umno, iaitu tahun 1964 hingga 1969, orang-orang Melayu tidak ingin sangat dengan kemajuan kebendaan atau material.

Kami terpaksa menggesa, memujuk dan merayu sebagai usaha memotivasikan orang Melayu ke arah kemajuan dan modenisasi. Begitu bersungguh-sungguh, begitu luas kami melawat segala ceruk rantau di luar bandar melalui Cawangan dan Bahagian-Bahagian Umno.

Akhirnya Kerajaan kepimpinan Umno berjaya, lebih-lebih lagi dengan terlaksananya Dasar Ekonomi Baru. Tidak syak lagi bahawa DEB telah membawa hasil yang positif kepada umat Melayu. Tetapi, di samping itu, biarlah saya katakan bahawa banyak juga akibat-akibat buruknya dari segi pergolakan politik dalam Umno.

Hasil daripada orang-orang Melayu bermotivasi ke arah kemajuan berukur kebendaan, corak pucuk pimpinan dan corak berpolitik pun bertukar. Kalau pada mulanya pucuk pimpinan Umno terdiri daripada para guru sekolah dan isu-isu yang menaik atau menurunkan seseorang itu berasaskan pendidikan dan pelajaran, semakin lama semakin ramai peniaga-peniaga atau usahawan yang mengambil alih pucuk pimpinan.

Isu-isunya pun bertukarlah kepada isu-isu lesen perniagaan, isu-isu kontrak dan sebagainya. Soal tali air, parit, pertanian, sekolah dan pengajian tinggi semakin lama semakin dibenam oleh isu-isu berupa "peluang-peluang" Melayu berniaga.

Ahli-ahli Umno telah begitu lama berbangga dengan slogan "Umno itu Melayu dan Melayu itu Umno." Awal-awal lagi apabila Umno ditubuhkan dalam tahun 1946, kata-kata yang terkandung dalam slogan itu memang menjadi kenyataan. Umno selama beberapa dekad sememangnya terus boleh memperkotakan kata-kata "Umno itu Melayu dan Melayu itu Umno."

Sepanjang pengalaman saya menjelajah ke segala ceruk rantau negara, dalam mana-mana juga majlis, saya mudah sahaja berasa confident atas sokongan masyarakat Melayu kepada Umno. Yang anehnya ialah dalam majlis-majlis yang dihadiri oleh masyarakat Melayu waktu itu, saya tahu bahawa mereka menyokong kita iaitu Umno. Air muka mereka, gerak-geri mereka, mesra mereka semuanya ini memberi keyakinan.

Sebaliknya, yang tidak dapat dipasti sokongan atau yang sukar didalami pendirian ialah di kalangan masyarakat Cina waktu itu. Mereka bersalam, mereka berkumpul, dan mereka mendengar. Tetapi sokongan, susah benar hendak dipastikan.

Sekarang keadaan sudah bertukar. Waktu hari membuang undi dalam Pilihanraya baru-baru ini, saya telah sehari suntuk melawat begitu banyak pusat membuang undi di sekitar Wilayah Persekutuan dan kawasan berdekatan di Selangor.

Aneh sekali pengalaman saya, yang tidak pernah dialami seumur hidup saya dalam politik. Iaitu, di kawasan-kawasan majoriti Melayu, pekerja-pekerja dan ketua-ketua BN nampaknya letih dan penat-lesu serta tertekan pemikiran mereka.

Ini ialah oleh sebab dengan cara terbuka, tidak takut dan tidak segan silu, begitu ramai orang Melayu, muda, tua, pekerja buruh kasar, yang terpelajar, yang mewah, dan yang miskin, bekerja kuat dan bersungguh-sungguh bagi pihak parti-parti pembangkang, tidak kira PAS, DAP, Parti Rakyat atau Parti Keadilan! Cuma di kawasan-kawasan majoriti Cina sahaja, ketua-ketua dan pekerja-pekerja BN dan Umno relax ..... "Sini tidak ada masalah Tan Sri," mereka memberitahu saya dengan ceria.

Apa telah jadi? Apa telah jadi kepada Umno? Umno sudah menjadi parti politik Melayu yang bergantung kepada sokongan orang Cina?

Apa salahnya orang-orang Cina menyokong parti Umno. Itu petanda baik. Tetapi dalam suasana politik sekarang di mana begitu ramai orang-orang Melayu yang telah lari daripada Umno dan menyokong parti-parti lawan, walau DAP pun, ahli-ahli Umno harus bertafakkur menginsafkan diri kita sendiri atas kelemahan-kelemahan sendiri, menganalisa diri sendiri.

Barang siapa pemimpin-pemimpin yang tidak mahu berbuat demikian dan terus menyalahkan orang-orang lain sahaja, pasti ini akan merupakan petanda buruk menjadikan Parti Umno tidak relevan tidak berapa lama lagi.

Orang-orang Melayu telah pun begitu terpelajar, matang dan berani, berani berpendirian tersendiri dalam apa-apa isu baik politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Ini sememangnya hasil usaha-usaha Umno sendiri. Keadaan ini harus kita hadapi dengan bangga dan tabah hati, tetapi dengan menyesuaikan pemikiran kita dan tindak-tanduk kita kepadanya.

Kalau kita cuma menuntut mereka berterima kasih berterusan dengan cara-cara berhujah seperti dahulu, mereka akan terus menganggap kita sebagai ketinggalan zaman.

Saya ingin mengulang apa yang saya katakan dalam satu wawancara saya dengan akhbar Utusan tidak lama dahulu. Iaitu, begitu ramai anak-anak muda Melayu, bila-bila bertukar-tukar fikiran atas isu-isu semasa mengadu kepada saya "The trouble with the leadership is that whenever they try to explain issues to the public, they seem to insult our intelligence! " maknanya "Bila pemimpin kita cuba menghuraikan sesuatu isu, mereka seolah berfikiran kita ini bodoh benar."

Dengan lain-lain perkataan, mereka tidak lagi sedia menerima sesuatu kenyataan bulat-bulat dengan tidak berfikir kritikal. Kita sudah kehilangan kredibiliti, iaitu kepercayaan mereka ke atas kita telah terhakis!

Waktu Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri dahulu, beliau telah mengecam Dr. Mahathir dan saya serta segelintir kecil sahabat-sahabat kami kerana tidak mengenang budi atas jasa-jasa pucuk pimpinan. Saya dianggap oleh Tunku sebagai "Budak-budak ubun-ubun lembut!" Tetapi kami terus mengkritik Tunku.

Kalau dahulu ada dua kerat sahaja manusia ahli Umno yang begitu berani, sekarang ada beribu! Bukan sahaja yang di luar Umno, di dalam Umno pun jelas begitu ramai yang tidak senang dengan Parti kita sendiri dan berbagai-bagai isu. Kalau tidak macam mana, misalnya dalam satu kawasan Parlimen di mana ahli-ahli Umno yang berdaftar sebanyak 17,500 tetapi undi yang diperolehi oleh calon Umno hanya 15,000 sahaja!

Itupun Menteri yang agak handal! Kalau tidak macam mana begitu ramai Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri hanyut walhal Umno diperkatakan begitu berpengaruh dengan ahlinya begitu ramai, begitu kuat di kawasan-kawasan berkenaan. Kalau tidak macam mana begitu ramai juga calon-calon Umno nyaris-nyaris kalah, walhal begitu banyak daripada kawasan berkenaan dianggap "impregnable" (kebal) sebelum itu.