Pihak pengurusan Harakahdaily.net mendakwa laman rasmi PAS itu telah menjadi sasaran serangan pihak-pihak tertentu mengakibatkan semua pelanggannya menghadapi masalah untuk melayarinya laman rasmi PAS.

Menurut Ketua Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong, ianya berlaku ekoran serangan yang dibuat ke atas komputer pelayan (server) Harakah mulai jam 10.30 malam Rabu lalu.

"Serangan ini dinamakan Denial Operating System (DOS). Kami yakin, serangan ini dirancang oleh pihak-pihak tertentu terhadap laman web Harakah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Melalui serangan itu, katanya server berkenaan menjadi sibuk melayan permintaan dari penyerang tersebut menyebabkan pelayar sebenar tidak dapat memasuki laman web Harakahdaily atau jika dapat masuk pun, lambat sekali.

"Perkara ini berlaku menjelang pilihanraya umum ke-11. Ia berlaku selepas Harakah sendiri disekat penerbitannya dari dua kali seminggu sebelum pilihanraya umum 1999 kepada dua kali sebulan sahaja sekarang.

"Yang paling membimbangkan kami, serangan ini hanya tahap pertama. Tahap seterusnya akan datang dan ketika itu komputer kami terpaksa ditutup sepenuhnya," tambahnya.

Disekat

Menurut Zulkifli, selepas Harakah diterbitkan dua kali sebulan, tumpuan ahli PAS untuk mendapatkan maklumat terkini hanyalah Harakahdaily sahaja.

"Ceramah juga disekat oleh pihak berkuasa. Kini, Harakahdaily juga disekat secara tidak langsung. Kami tidak menuduh musuh politik PAS melakukan kerja ini.

"Tetapi, jikalah mereka melakukan kerja terkutuk ini, alangkah malangnya rakyat Malaysia...disekat dari segenap penjuru...hanya media BN sahajalah yang boleh mereka tatap," tegasnya.
Katanya, semua sepatutnya diberi peluang untuk mendengar pandangan, kritikan, pendapat dan suara hati hati mereka.

"Biarlah padang pertandingan kita ini sama rata, bukannya senget sebelah," kata Zulkifli.