1,500 anak ahli PAS pantau Program Khidmat Negara
Seramai 1,500 anak ahli PAS yang menyertai Program Khidmat Negara (PKN) akan menjadi mata dan telinga Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) bagi memantau segala kegiatan PKN supaya ianya tidak bersifat indoktrinasi politik, dan perkara maksiat.
Seramai 1,500 anak ahli PAS yang menyertai Program Khidmat Negara (PKN) akan menjadi mata dan telinga Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) bagi memantau segala kegiatan PKN supaya ianya tidak bersifat indoktrinasi politik, dan perkara maksiat.
Menurut ketua Pemuda PAS pusat, Salahuddin Ayub, mereka telahpun diberi kursus intensif pembinaan mental oleh DPP bagi membantu memantau semua bentuk pengisian sepanjang program PKN itu berjalan.
Katanya, DPP telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak untuk memantau PKN pada setiap hari apabila program itu bermula pada 16 Februari depan.
Jawatankuasa bertindakan itu diketuai oleh timbalan ketua Pemuda PAS pusat, Idris Ahmad.
"Jawatankuasa yang dianggotai oleh beberapa individu yang berpengalaman dalam bidang ini, akan membuat pemantauan secara berterusan dengan dibantu oleh 1,500 anak PAS tersebut," kata Salahuddin dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa PKN supaya mengumumkan modul penuh program tersebut kepada umum untuk membolehkan ianya diteliti oleh ibu bapa sebelum program itu bermula.
Katanya, DPP juga telah mewujudkan pusat aduan PKN untuk menerima aduan daripada peserta dan para ibubapa yang beroperasi 24 jam sepanjang program PKN berjalan.
Politik BN
"Para peserta dan ibu bapa boleh menghubungi talian hotline ini untuk memaklumkan sebarang aktiviti PKN yang bercanggah dengan matlamat asalnya.
"Sebarang aduan boleh dibuat melalui talian 03-61899296 atau faks 03-61869618. Aduan juga boleh dibuat melalui SMS melalui talian 019-2245171, 019-3500903, 019-9614331 dan 019-2366669," tambahnya.
Menurut Salahuddin, DPP juga akan memastikan kesemua 26,000 peserta PKN tidak diperalatkan bagi tujuan kempen politik BN menjelang pilihanraya umum ini.
Beliau berkata, pihaknya mengambil serius maklumat awal daripada sumber-sumber yang mendakwa PKN akan dijadikan satu pusat indoktrinasi BN, selain menggalakkan budaya hedonisme (suka berhibur) serta percampuran lelaki-perempuan.
Salahuddin berkata, DPP tidak menolak kebenaran dakwaan ini kerana menurutnya kerajaan BN pernah sebelum ini, memperalatkan Biro Tata Negara (BTN) untuk membina pengaruhnya secara paksa.
"DPP pada asasnya tidak membantah PKN jika ia benar-benar bertujuan untuk membina semangat patriotik, jati diri dan sahsiah para remaja," tambahnya.
Bagaimanapun, Salahuddin mendakwa, Kerajaan BN seringkali menggunakan nama negara untuk kepentingan politik sempit parti tersebut.

