Sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Malaysia yang menganjurkan ekspo budaya Tionghua mendakwa UTM menipu pihak media apabila mengeluarkan kenyataan bahawa satu pertemuan antara dua pihak itu diaturkan semalam. Malaysiakini pada Selasa lalu memetik sumber seorang jurucakap pentadbiran universiti itu yang berkata mesyuarat diadakan 2:30 petang semalam. Bagaimanapun, menurut pelajar, pertemuan itu tidak diadakan seperti dimaklumkan kepada media.

"Ahli jawatankuasa program berasa kesal dengan tindakan pihak universiti yang seolah-olah menipu para pembaca dengan memberi maklumat palsu," kata Naib Pengerusi Program, Tan Hong Sin, kepada malaysiakini berhubung mesyuarat tersebut bagi membincangkan isu berkenaan yang sudah berlarutan selama lebih dua minggu.

Sementara itu, seorang pemimpin pelajar, Lee Khai Loon, menyifatkan tindakan UTM menyerahkan surat tunjuk sebab kepada beliau dan dua lagi exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPM) sebagai "satu percubaan memecah-belahkan perpaduan pelajar."

Lee, Liew Weng Kong dan Cheong Soon Aun menerima surat itu selepas dituduh terlibat dalam satu 'perhimpunan haram' pada pada 23 Februari lalu. Perhimpunan seramai 200 orang pelajar itu bertujuan menyerahkan memorandum kepada Naib Canselor, Datuk Dr. Ahmad Zaharudin Idrus, sebagai membantah sikap universiti yang membatalkan ekspo tersebut.

"Saya dan tiga wakil MPM menyerahkan memorandum itu kepada Hal Ehwal Pelajar tetapi mengapa tiga rakan saya dalam rombongan itu tidak menerima surat tersebut?" soal Lee, sambil menegaskan UTM bersikap tidak adil dan mungkin mempunyai motif tertentu.

Tiga lagi pemimpin pelajar dalam rombongan Lee pada hari itu ialah Presiden MPM, Mohd Suhaimi Mohd Said, Timbalan Presidennya, Mohd Jairudi dan Naib Pengerusi ekspo tersebut, Tan Hong Sin.

Surat tunjuk sebab mengapa tindakan tatatertib tidak boleh dikenakan ke atas mereka itu diterima sejurus selepas memorandum diserahkan kepada pihak universiti.

Tengah hari tadi, dalam satu sidang akhbar di luar kampus UTM, penganjur ekspo budaya itu menyeru pihak universiti mengadakan dialog terbuka secepat mungkin demi menyelesaikan masalah yang timbul dan memulihkan imej universiti.

Timbalan Pendaftar HEP Bahagian Aktiviti Pelajar, Mohd Tajuddin Othman, tidak bersedia mengulas lanjut apabila dihubungi malaysiakini . Sebaliknya beliau mendakwa pihak media (bukan malaysiakini ) tidak memberi gambaran sebenar apa yang berlaku.