Polis tangkap suspek sembur 'grafiti 901 '
Polis menahan tiga individu di Kuala Lumpur kerana didakwa melakukan vandalisme yang dipercayai ada kaitan dengan perhimpunan 'Bebaskan Anwar 901'.
"Saya boleh mengesahkan tangkapan dibuat," kata Ketua Polis Daerah Brickfields, Wan Abdul Bari Wan Khalid.
Dipercayai individu berkenaan ditahan kerana menyembur cat 'TTR901'.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada grafiti itu ada kaitan dengan perhimpunan menyokong ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana keputusan perbicaraan kes liwat terhadapnya akan diumumkan pada 9 Januari ini.
Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata pihak yang melakukan vandalisme dengan mengecat dinding bangunan kemudahan awam dengan ayat menghentam kerajaan boleh dikenakan tindakan.
Beliau berkata, perbuatan vandalisme tidak memberi hasil yang positif untuk masyarakat setempat mahupun negara sebaliknya hanya menyebabkan kos tinggi untuk kerja pembersihan.
"Pihak tidak bertanggungjawab itu telah mengecat ayat-ayat menghentam kerajaan dan menggalakkan perhimpunan pada Isnin ini.
"Kita akan bersihkan kawasan-kawasan itu, sekiranya kita dapat tangkap mereka yang melakukan perbuatan itu, tindakan akan diambil,” katanya kepada pemberita ketika melawat Taman Rekreasi Bukit Kerinchi Fasa Pertama di Kuala Lumpur hari ini.
Raja Nong Chik berkata, pihaknya akan berkerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengatasi masalah vandalisme di ibu kota.

