Penyakit Nipah encephalitis memakan seorang lagi korban dan kali ini pada hari pertama sambutan Tahun Baru Cina. Pada pagi 5 Februari, ketika Chang Shung Chu, seorang isteri dari Kampung Tanah Merah A, Port Dickson sedang sibuk menyambut perayaan itu, beliau menerima satu panggilan telefon dari Hospital Universiti Kuala Lumpur memaklumkan agar beliau segera ke hospital.

Sebaik sahaja sampai di hospital, Shung Chu diberitahu suaminya Cheng Hua Shin, 34, yang mengidap penyakit Nipah encephalitis dan dirawat di hospital pada 8 April tahun lalu, sudah meninggal dunia. Mendiang meninggalkan tiga orang anak, berusia empat hingga 10 tahun.

Bulan lalu, seorang penternak khinzir dari Batu Satu, Selangor, dilaporkan mati akibat serangan penyakit yang sama pada 27 Januari.

Korban terakhir ini sekali lagi membangkitkan kebimbangan penternak khinzir dan ahli-ahli keluarga mereka. Kira-kira 200 orang disahkan positif mengidap serangan virus Nipah. Bagi mereka, berita kematian itu sebagai satu petanda buruk.

Berita kematian itu menimbulkan kekeliruan yang lebih besar, dan 200 orang yang disahkan positif itu tidak jelas apakah akibat dan kesan mengidap serangan virus tersebut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Neurologi di Universiti Malaya. Prof C. T. Tan memberitahu malaysiakini bahawa hanya lima peratus pesakit menderitai semula penyakit itu.

"Kebanyakan pesakit akan sembuh," katanya.

Bagaimanapun, Tan berkata kebanyakan mereka tidak perlu bimbang mengenai kesihatan mereka kerana ujian "positif" itu menunjukkan pembentukan antibodi Nipah encephalitis .

Beliau menasihatkan mereka yang masih berasa bimbang mengenai keadaan kesihatan mereka agar sentiasa membuat pemeriksaan di hospital. "Tetapi hanya segelintir sahaja yang datang, ramai lagi tidak hadir," katanya kesal.

Antara Oktober 1998 hingga Mei 1999, pihak berkuasa kesihatan negara ini mencatatkan 258 kes encephalitis , dengan 104 kematian. Beribu-ribu ekor khinzir ditembak mati dalam satu rancangan mengawal wabak tersebut.

Kementerian Kesihatan mengaitkan kematian itu akibat serangan Japanese encephalitis (JE), tetapi kemudiannya didapati korban itu sebenarnya akibat sejenis virus baru seakan-akan Hendra yang pernah menyerang kuda dan manusia di Australia.