Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) mendakwa kejadian jenayah yang semakin menular pada hari ini adalah berpunca daripada keengganan kerajaan Barisan Nasional (BN) menerima pelaksanaan hukum Hudud.

"Apabila Allah menurunkan bala kepada manusia, semua rakyat akan merasa azabnya, tanpa mengira mereka itu pemimpin negara atau rakyat biasa, penyokong kerajaan atau pembangkang," kata timbalan ketua Pemuda PAS pusat, Idris Ahmad.

"Kerana itu, jalan penyelesaian terbaik untuk menghentikan jenayah ini ialah dengan melaksanakan hukum hudud, qisas, diyat dan takzir seperti yang telah diarahkan oleh Allah. Sebarang kedegilan akan mengundang bencana kepada negara," katanya dalam satu kenyataan.

Idris juga menolak dakwaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa peningkatan mendadak kadar jenayah kebelakangan ini tidak ada kaitan dengan keengganan kerajaan Umno/BN melaksanakan hukum hudud.

"Bagi DPP, kenyataan itu jelas menggambarkan beliau tidak memahami kehendak al-Quran dan peranan peraturan yang ditetapkan oleh Allah dalam mengawal kelakuan sosial manusia," tambahnya.

DPP, kata Idris, juga menolak dakwaan Najib bahawa pembangkitan semula isu hudud ini mempunyai kaitan dengan kepentingan politik PAS.

"Tidak timbul soal mengaitkan kejadian jenayah ini dengan kepentingan politik PAS, kerana hudud diturunkan Allah untuk mengawal perbuatan jenayah, bukannya untuk PAS. Tetapi sebagai parti yang bertanggungjawab kepada Allah, PAS berusaha agar hudud dilaksanakan.

Fahaman sekular

"Hudud bukannya menguntungkan PAS, tetapi menguntung rakyat keseluruhannya kerana hudud boleh memberi jaminan terhadap keselamatan sosial rakyat. Hukum hudud bukan soal politik, tetapi soal agama dan aqidah," tambah Idris.

Menurutnya, sebarang tindakan dan pemikiran yang cuba mengelak kejadian jenayah dengan keengganan melaksanakan hukum Allah adalah selaras dengan fahaman sekular yang memisahkan agama dengan kehidupan.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Malaysia tidak akan mengamalkan dua sistem pentadbiran - Islam dan bukan Islam walaupun masyarakatnya berbilang kaum.

"Kita tidak boleh ada dua sistem...sSatu program untuk Islam dan Melayu dan satu program untuk bukan Islam. Pembangunan di Malaysia adalah untuk semua," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Islam Hadhari (Pengurusan Negara Islam) peringkat kebangsaan di Shah Alam

Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata perkongsian kuasa telah mewujudkan kestabilan politik dan keamanan negara

Manakala Najib pula berkata, hasrat PAS untuk menawan Pahang menunjukkan parti itu tertekan kerana pengaruh mereka semakin berkurangan di Kelantan dan Terengganu.

Najib yang menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno berkata, sebaliknya, suasana persekitaran dan perubahan sikap pengundi di Pahang menunjukkan tanda positif bagi menjamin kejayaan 100 peratus kepada Umno.

"Kita nak tekankan Pahang ini sebagai kubu dan benteng kepada Umno dan BN sepertimana dahulu, kita anggapkan 1999 sebagai suasana luar biasa dan tak nak ulang balik," katanya kepada pemberita di Kuantan semalam.