Syor supaya orang bukan politik dilantik terajui TNB
Kerajaan disarankan supaya merombak pengurusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan jawatan pengerusinya diberikan kepada tokok profesional dan bukannya dari kalangan orang politik.
Kerajaan disarankan supaya merombak pengurusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan jawatan pengerusinya diberikan kepada tokok profesional dan bukannya dari kalangan orang politik.
Menurut Ahli Parlimen PAS Kawasan Kubang Krian, Husam Musa ini kerana kerugian yang dialami TNB membuktikan Datuk Awang Adek Hussin kurang berupaya mengendalikan portfolio kewangan badan tersebut.
Malah, katanya, beliau difahamkan Perbadanan Menteri Kewangan telah menjual sejumlah 9.7 peratus saham pegangan kerajaan dalam TNB kepada Petronas pada 15 Disember lalu.
"Penjualan ini menunjukkan bahawa kerajaan menghadapi masalah kewangan yang serius," kata Husam dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama, tambahnya, TNB telah mengumumkan mengalami kerugian sebanyak RM26.4 juta pada suku tahun 2004 serta dibebankan dengan hutang sebanyak RM31 ribu juta.

Menurut beliau lagi, saranannya itu juga selaras dengan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melantik orang bukan politik, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai menteri kewangan kedua.
Kelemahan pengurusan
Katanya, Abdullah telah memberikan alasan bahawa perlantikan tersebut dibuat untuk membolehkan tumpuan diberikan kepada pengurusan kewangan tanpa kepentingan.
"Jika pengurusan kewangan tertinggi diberikan kepada orang bukan politik, apa wajarnya di peringkat yang lebih rendah diberikan kepada tokoh politik," tegasnya.
Menurut Husam lagi, penjualan saham kerajaan dalam TNB kepada Petronas mungkin akan membebankan Petronas dengan tanggungan tersebut.
Katanya, ianya adalah tidak adil di mana kelemahan pengurusan kewangan TNB sehingga menanggung hutang besar, akan dialihkan kepada Petronas sebagai pemegang saham terbesar yang baru.
"Petronas telah berkali-kali terpaksa menggunakan wang keuntungannya dari khazanah minyak negara untuk membantu menyelesaikan masalah kewangan seperti BBMB, MISC dan juga Proton pada masa yang lalu," tambahnya.
Oleh itu, beliau mengingatkan bahawa Abdullah tidak sepatutnya mengulangi amalan yang sama.

