Ahli parti pembangkang atau bekas ahli Umno yang ingin kembali ke parti itu hanya akan diterima jika mereka tidak mengenakan sebarang syarat dan tidak mengharapkan imbuhan, kata naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, Umno hanya akan menerima bekas ahli parti pembangkang atau bekas ahli Umno jika mereka bersedia mematuhi disiplin parti dan menghayati perjuangan Umno.

Bernama memetik Najib sebagai berkata, sebaliknya, mereka hendaklah menyertai Umno tanpa syarat, serta terima perjuangan dan patuh kepada disiplin parti itu.

Najib yang menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno menegaskan demikian ketika diminta mengulas dakwaan parti pembangkang, terutamanya PAS dan Keadilan bahawa ahli mereka dipancing dengan wang ringgit untuk menyertai Umno.

Sebelum itu, Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, menghadiri majlis penganugerahan pensijilan MS ISO 9001:2000 Hospital Angkatan Tentera Lumut di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut hari ini.

Menurut laporan hari ini, setiausaha Pemuda Keadilan, Lokman Noor Adam telah dipecat kerana cuba menarik ahli pergerakan itu untuk menyertai Umno dengan menjanjikan mereka "faedah kewangan".

Ketua Pemuda Keadilan Ezam Mohd Noor dilaporkan sebagai berkata, Lokman, bekas ahli Umno yang menyertai Keadilan pada 1998, dipecat semalam setelah siasatannya mendapati ada bukti terhadap dakwaan itu.

Ikhlas

Mengulas lanjut perkara tersebut, Najib menafikan dakwaan bahawa Umno menawarkan sogokan wang ringgit untuk menarik ahli parti pembangkang menyertainya

"Kita tidak beri apa-apa imbuhan kepada mereka kalau hendak masuk Umno. Kita tiada perancangan begitu," katanya.

Menurut Najib, jika Umno memberi imbuhan berbentuk wang ringgit dan sebagainya, ia bermakna parti itu menerima ahli baru yang tidak ikhlas terhadap Umno.

"Kita tidak terima mereka yang masuk kerana sogokan wang ringgit...kita tidak buat cara itu. Umno hanya menerima mereka yang masuk dengan ikhlas," tambahnya.