Kerajaan mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun ini dan tahun depan pada 5 peratus, berdasarkan kepada permintaan dalam negeri yang kukuh.
    
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata negara masih komited ke arah pertumbuhan 5 peratus pada tahun ini dan berada pada landasan yang betul untuk mencapainya.
    
"Tahun depan, kita masih mengunjurkan 5 peratus sekiranya tiada kejadian buruk," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Sektor Kewangan dan Siri Mata Wang Baru Malaysia di ibunegara hari ini.
    
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai sama ada kerajaan akan menyemak semula unjuran pertumbuhan berikutan ketidaktentuan dalam ekonomi global.
    
"Jadi, sekiranya berlaku perkara seperti kelembapan dalam persekitaran luar, kita masih boleh berjaya mencapai 5 peratus dengan syarat kita berusaha untuk permintaan dalam negeri yang kukuh," kata Najib, yang juga menteri kewangan.
    
Perdana menteri berkata, bagi memastikan permintaan dalam negeri yang kukuh, jabatan-jabatan kerajaan dan kementerian perlu mencapai kadar perbelanjaan yang tinggi dari segi perbelanjaan pembangunan mereka.
    
Bagi tahun ini, perdana menteri berkata, pelaburan sektor swasta serta pelaburan langsung asing dalam aliran meningkat dan diharapkan akan lebih kukuh tahun depan.
    
"Jelas sekali, ia tidak akan menjadi lima peratus yang tepat tetapi itu adalah anggaran kita dan ia agak hampir," sambil menambah bahawa kerajaan yakin untuk mencapai purata 6 peratus dalam tempoh sepuluh tahun akan datang di bawah Model Baru Ekonomi (MEB).
    
"Kita memperkata mengenai purata 6 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang dan akan terdapat beberapa tahun yang ia (KDNK) akan turun sedikit dan beberapa tahun akan melangkaui enam peratus," katanya.
     
Sementara itu, menjawab soalan mengenai kerjasama Malaysia dengan Iran, Najib berkata kedua-dua negara masih boleh meneruskan kerjasama dua hala mereka selagi tidak bercanggah dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
    
"Saya fikir dalam bidang kerjasama ekonomi, kita sudah tentu boleh meneruskan kerjasama dua hala dan meneroka lebih banyak peluang antara kedua-dua negara selagi ia tidak bercanggah dengan ketetapan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)."
   
Bidang-bidang yang tidak terjejas dengan resolusi PBB akan terus berkembang, katanya.

- Bernama