Suruhanjaya Pilihannraya (SPR) lebih cenderung untuk mengadakan pilihanraya negeri Sabah serentak dengan pilihan raya umum kerana ia lebih menjimatkan perbelanjaan, kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Katanya, jika pilihanraya diadakan serentak, ini merupakan pertamakalinya pengundi di Sabah mengundi bagi kedua-dua kerusi negeri dan Parlimen dalam masa yang sama.

Pilihanraya negeri dan Parlimen sentiasa diadakan berasingan sejak pilihanraya pertama diadakan di negeri itu pada 1967.

"Saya tidak mahu membuat spekulasi bahawa pilihanraya negeri dan umum akan diadakan serentak tetapi terdapat banyak pihak kerajaan menyatakan untuk mengadakannya serentak", katanya di majlis taklimat dan sesi dialog dengan media Sabah di sini.

"SPR mengalu-ngalukan sebarang langkah untuk mengadakan pilihanraya serentak kerana itu boleh menjimatkan perbelanjaan dan lebih senang dikendalikan," katanya dalam dialog selama dua jam setengah itu.

Dibubarkan

Bernama memetik Abdul Rashid sebagai berkata, SPR sudah membuat persiapan, termasuk keperluan logistik, tenaga pekerja serta cara-cara memberitahu pengundi bagaimana pengundian akan dijalankan.

Bagaimanpun setakat ini belum ada pentunjuk sama ada daripada kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri bila Parlimen dan Dewan Undangan Negeri akan dibubarkan.

Oleh itu, beliau berkata tidak ada alasan yang boleh dipercayai "bahawa pilihanraya akan diadakan dalam masa terdekat."

Penggal Parlimen sekarang akan berakhir 20 November tahun ini manakala Dewan Undangan Negeri Sabah pada 12 April ini.

Sehubungan itu, Abdul Rashid menggesa mereka yang berumur 21 tahun supaya mendaftar sebagai pengundi dan keluar mengundi dalam pilihanraya umum akan datang.

Beliau memberi jaminan bahawa mereka yang mendaftar sekarang masih sempat untuk mengundi jika pilihanraya diadakan April ini.

Abdul Rashid juga puashati dengan bilangan mereka yang keluar mengundi di Sabah. Dalam pilihanraya negeri pertama pada 1967, kira-kira 160,000 daripada 190,000 jumlah pengundi di negeri ini keluar mengundi.

Terdapat sejumlah 766,836 pengundi di Sabah sehingga 31 September tahun lalu dan SPR berharap bilangan itu akan mencapai 750,000 orang.