Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi digesa supaya mengambil langkah membatalkan konsert Mariah Carey yang dijadualkan diadakan di Stadium Merdeka Khamis ini, yang jatuh pada tanggal Maal Hijrah - hari pertama tahun baru Islam.

Ketika membuat gesaan itu, badan bukan kerajaan, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menegaskan Mariah Carey adalah model penyanyi yang tidak harus ditonjolkan di negara ini.

Malah, menurut Teras lagi, artis itu yang terkenal dengan pakaian menjolok mata, tidak sepatutnya dibawa membuat persembahan pada tanggal 1 Muharram, iaitu satu tarikh kebesaran Islam yang amat penting dan bermakna kepada seluruh umat Islam.

Dalam suratnya kepada perdana menteri, presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid turut mempertikaikan motif pihak penganjur dan penyanyi berkenaan,memilih tarikh tersebut untuk mengadakan konsert di Malaysia.

"Kami kesal wujudnya pihak tertentu yang beria-ia menyokong konsert tersebut atas alasan Malaysia perlu setaraf dengan negara maju dan negara ini perlu mengamalkan dasar liberal.

"Kami berpendapat alasan ini tidak boleh diterima lantaran kriteria oleh negara maju dan nilai liberal yang diamalkan oleh negara barat, bukan kayu ukur untuk Malaysia menerima atau menolak sesuatu perkara," katanya.

Teras juga melahirkan rasa kesalnya terhadap sikap pemimpin MCA dan DAP yang mendewa-dewa kebebasan wanita untuk berpakaian sekehendak mereka atas alasan "kita tidak berhak menentukan nilai moral sesebuah masyarakat".

Kementerian terbabit

"Pemikiran modernis, liberal yang kebaratan yang disanjung oleh pihak-pihak ini perlu diperbetulkan jika mereka mahu menerima sifat negara ini yang telah dilaungkan sebagai sebuah negara Islam.

"Apakah kerana mereka mahu masyarakat menerima apa sahaja dari barat tanpa soal dan dengan sebab itu, kita perlu liberal. Apakah mereka mahu masyarakat menggadai moral dan mengubahsuai nilai moral mengikut ukuran barat hanya kerana kita perlu maju dan progresif," tegas Mohd Azmi.

Katanya, Teras kesal kerana Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan turut terlibat sama dengan penganjuran konsert tersebut.

"Kami memanjangkan secara langsung surat bantahan ini sekali lagi kepada YAB Perdana Menteri supaya tindakan membatalkan kebenaran (mengadakan) konsert ini, diambil.

"Kami juga memohon Menteri Hal-Ehwal Islam (di Jabatan Perdana Menteri) dan mufti-mufti mengambil berat dengan bantahan ini dan mengambil langkah untuk menggesa supaya konsert ini dibatalkan," katanya.

Pada 15 Januari lalu, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah menghantar surat kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir, membantah penganjuran konsert Mariah Carey Khamis ini.

Pergerakan itu mendakwa, penganjuran konsert tersebut akan mencemarkan hari kebesaran Islam - Maal Hijrah atau awal Muharram.

Sambil menggesa supaya konsert itu dibatalkan, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga mahu kerajaan memohon maaf kepada rakyat, khususnya umat Islam, di atas kelanjuran kementerian berkenaan.