Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) berpendapat bahawa hukuman bunuh dan sebat di khalayak ramai untuk perogol dan pembunuh merupakan cara terbaik untuk menyelesai jenayah tersebut kerana ianya selaras dengan hukum hudud dan qisas.

Oleh itu, DPP mendesak kerajaan BN supaya mengambil langkah segera untuk melaksanakan hukum hudud ataupun membenarkan kerajaan-kerajaan negeri melaksanakan hukum hudud.

"Bahkan, kegiatan-kegiatan negatif yang lain seperti lumba haram, judi, rompakan, peras ugut, mencuri, memandu dalam keadaan mabuk dan sebagainya, turut dapat diselesaikan," kata ketua penerangannya, Mazlan Aliman dalam satu kenyataan hari ini.

DPP, katanya percaya sekiranya hukum hudud dan qisas dapat dilaksanakan di negara ini dengan segera, tanpa sebarang prangsaka politik, masalah sosial seperti pembunuhan, rogol, liwat, zina dan sebagainya dapat dikawal.

"Umno juga hendaklah menarik balik cercaan mereka dan juga saman mereka di Mahkamah Tinggi terhadap hukum hudud. Jika Umno terus memerangi hukum hudud, maka tidak mustahil Allah akan menurunkan lebih banyak bala seperti yang berlaku ke atas Nurul Huda (Abdul Ghani)," tegasnya.

Dalam kejadian tersebut, Nurul Huda ditemui dalam keadaan bogel, tidak sedarkan diri di dalam pondok pengawal di Stesen Janakuasa Tenaga Nasional (TNB) di Kampung Pekajang, Tanjung Kupang, Gelang Patah Johor.

Sebat

Polis percaya, budak perempuan berusia 10 tahun itu dicekik perogol sehingga lemas selepas dia diperkosa. Bedah siasat juga mendapati Nurul Huda diliwat beberapa kali secara bergilir-gilir.

Menurut Mazlan lagi, selama ini, pemimpin Umno dan Barisan Nasional mengherdik hukum hudud yang dicadangkan pelaksanaannya oleh PAS, sebagai zalim dan tidak sesuai untuk masyarakat majmuk.

"Tetapi apabila kezaliman penjenayah merentasi persoalan kaum, ternyata tokoh-tokoh agama kerajaan mahukan hudud dilaksanakan di negara ini.

"Tokoh-tokoh agama kerajaan seperti Exco Kerajaan Kedah, Datuk Fadzil Hanafi, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr Ismail Ibrahim dan bekas mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kadir Taib, memberi pandangan bahawa hukuman bunuh dan sebat di khalayak ramai sebagai cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.

"Hukuman bunuh dan sebat di khalayak ramai untuk perogol dan pembunuh, adalah selaras dengan hukum hudud dan qisas yang diturunkan oleh Allah," tambahnya.

Punca kejadian

Sementara itu, Wanita Barisan Alternatif (BA) turut memandang berat dan sangat bimbang terhadap kejadian beberapa siri keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak Malaysia akhir-akhir ini.

"Bermula dari kes rogol dan bunuh jurutera wanita oleh pemandu bas, sehingga kepada kes terakhir yang amat menyayat hati di mana budah perempuan berumur 10 tahun dirogol dan diliwat bergilir-gilir, rakyat Malaysia begitu terkejut dan tertanya-tanya punca kejadian-kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tiga perenggan itu ditandatangani oleh timbalan ketua Muslimat PAS, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali dan ketua penerangan Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin.

"Wanita BA meyakini bahawa tragedi ini berlaku akibat hancurnya institusi keluarga, hilang perasaan hormat menghormati dan juga lenyapnya perasaan belas kasihan kepada golongan yang lebih lemah, terutamanya kanak-kanak," tambahnya.

Menurut Wanita BA, ianya menunjukkan bahawa kempen Masyarakat Penyayang yang ditaja oleh kerajaan Umno dan BN sebelumnya terus menemui kegagalan.

"Fungsi dan peranan Kementerian Pembangunan Keluarga dan Wanita juga nampaknya sangat tidak berkesan," tambahnya.

Sehubungan itu, Wanita BA mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama agar bersama-sama berusaha memantapkan kembali institusi keluarga dan kembali berpegang kepada nilai-nilai mulia dan murni sejagat yang dianjurkan oleh agama masing-masing.