Selangor dapat MB baru?
Sekurang-kurangnya dua pemimpin Umno pusat yang berasal dari Selangor dijangka dibawa balik bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum akan datang berikutan semakin kencangnya spekulasi yang Menteri Besar, Datuk Dr Mohd Khir Toyo akan dipindahkan ke pusat.
Memandangkan Menteri Besar Datuk Dr Mohd Khir Toyo menjadi sasaran utama pembangkang di Selangor, kini spekulasi bertiup kencang yang beliau mungkin dipindahkan ke pusat dalam pilihanraya umum akan datang.
Sekurang-kurangnya dua pemimpin Umno pusat yang berasal dari Selangor dijangka dibawa balik bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum akan datang berikutan semakin kencangnya spekulasi yang Menteri Besar, Datuk Dr Mohd Khir Toyo akan dipindahkan ke pusat.
Langkah memindahkan Dr Mohd Khir itu dikatakan amat penting bagi'mencairkan' sokongan pengundi di Selangor terhadap Barisan Alternatif (BA) yang diterajui oleh PAS dan Keadilan.
Menurut sumber-sumber yang mengetahui, senjata utama PAS dan Keadilan di Selangor ialah memperbesar-besarkan dakwaan rasuah dan penyelewengan kuasa terhadap Dr Mohd Khir.
"Memandangkan sasaran utama pembangkang ialah Dr Mohd Khir, maka langkah terbaik ialah memindahkan beliau ke pusat, dan tempat beliau digantikan oleh pemimpin lain," tambahnya.
Malah, katanya, sebelum ini pun telah timbul desas-desus yang mengatakan terdapat desakan desakan supaya Dr Khir tidak lagi mengetuai jentera BN negeri dalam pilihanraya umum akan datang.
Berikutan itu, katanya, nama Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Shafie Salleh disebut-sebut sebagai calon terbaik untuk dilantik sebagai Menteri Besar yang baru. Beliau adalah ahli Parlimen kawasan Kuala Langat.
Tiada modal
Beliau berjaya mengekalkan kerusi tersebut dengan menewaskan calon Keadilan, Saari Sungib dengan majoriti 8,020. Shafie memperolehi 24,878 undi manakala Saari berjaya mendapat 16,858 undi.
"Jika Dr Mohd Khir diganti, sudah pasti pembangkang tiada modal lagi untuk menyerang Umno Selangor," kata sumber-sumber itu.
Selain itu, katanya, Dr Shafie yang diketahui sebelum ini rapat dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga dijangka boleh membantu Umno menarik sokongan pengundi atas pagar yang bersimpati dengan penyingkiran Anwar.
"Sebelum ini mereka memberi undi kepada Keadilan kerana faktor Anwar. Dengan meletakkan Umno Selangor di bawah pimpinan Datuk Dr Shafie, kemungkinan mereka akan kembali semula mengundi Umno dalam pilihanraya umum akan datang," tambahnya.
Seorang lagi nama yang disebut-sebut untuk jawatan mengisi jawatan Menteri Besar ialah Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Noh Omar. Beliau juga merupakan presiden alumni Kelab Umno.
Noh juga mengekalkan kerusi Parlimen Tanjung Karang dalam pilihanraya umum 1999 dengan majoriti 2,075 undi. Beliau memperolehi 15,841 undi untuk menewaskan calon PAS Dr Md Yusuff Abd Wahab yang mendapat 13,766 undi.

