Ibrahim Ali dinasihat supaya berwaspada
Para penyokong Datuk Ibrahim Ali menasihatkan beliau supaya jangan mudah terpengaruh dengan 'pelawaan politik' pihak pembangkang, khususnya PAS di Kelantan yang cuba mempengaruhi beliau supaya bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya umum akan datang.
Datuk Ibrahim Ali diingatkan supaya berhati-hati dengan taktik pembangkang yang cuba mengeksploitasi isu penggugurannya daripada jawatankuasa penaja Umno untuk melemahkan sokongan terhadap Umno Kelantan.
Para penyokong Datuk Ibrahim Ali menasihatkan beliau supaya jangan mudah terpengaruh dengan 'pelawaan politik' pihak pembangkang, khususnya PAS di Kelantan yang cuba mempengaruhi beliau supaya bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya umum akan datang.
"Malah, sudah tersebar ura-ura yang mengatakan pihak pembangkang akan menyokong Datuk Ibrahim sekiranya beliau bertanding menentang pengerusi Umno negeri, Datuk Mustafa Mohamad di Parlimen Jeli ataupun di Pasir Mas,' kata beberapa penyokong kuatnya hari ini.
"Kami sebenarnya bimbang ianya satu perangkap pihak pembangkang bagi melemahkan sokongan rakyat terhadap Umno dalam pilihanraya umum akan datang," katanya kepada malaysiakini.
Katanya, walaupun kepimpinan Umno Kelantan memandang rendah terhadap kewibawaan politik Ibrahim, tetapi dalam keadaan sekarang, beliau boleh dijadikan senjata oleh pembangkang terhadap Umno.
"Mahu tidak mahu, kepimpinan Umno Kelantan perlu realistik dalam menghadapi senario politik tempatan di mana Datuk Ibrahim masih berpengaruh di negeri tersebut," tambahnya.
Ibrahim yang sebelum ini menerajui Umno bahagian Pasir Mas, tidak terpilih semula sebagai ketua penaja bahagian berkenaan.
Berikutan itu, Ibrahim telah meluahkan 'rasa hatinya' dengan mendakwa bahawa keputusan Umno mengenepikannya itu sebagai satu "penghinaan' terhadap dirinya dan menyatakan kemungkinan beliau akan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.
Menang tipis
Kenyataan keras beliau itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk kemungkinan Ibrahim akan 'beralih angin' dengan menyertai parti pembangkang.
Khabar angin juga bertiup kencang selepas itu kononnya beberapa pemimpin parti pembangkang sudah menemui Ibrahim untuk menyertai parti mereka dan diletakkan sebagai calon dalam pilihanraya umum akan datang.
Bagaimanapun, ketika pertama kali Ibrahim pulang ke Kelantan selepas tidak dilantik sebagai ketua penaja bahagian Pasir Mas, beliau telah menyatakan hasratnya untuk terus berjuang dalam Umno.
Sementara itu, seorang penyokong Ibrahim berkata kini sudah timbul spekulasi yang PAS mungkin memberi laluan kepada pemimpin Umno itu jika beliau ingin bertanding sebagai calon bebas menentang Mustafa di Jeli atau di Pasir Mas.
"Sebenarnya ini merupakan satu spekulasi - boleh jadi, boleh jadi tidak. Jadi kita tidak mahu Datuk Ibrahim terperangkap dengan permainan politik pembangkang bagi menjejaskan kredibiliti Umno negeri," tambahnya.
PAS, melalui Barisan Alternatif (BA) memenangi 41 daripada 43 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum lalu. Barisan Nasional (BN) hanya memenangi dua kerusi, iaitu di Paloh dan Galas - kedua-duanya dalam kawasan Parlimen Gua Musang.
BA juga hampir menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan dengan majoriti di antara 3,500 hingga 16,000 undi. BN hanya mampu mempertahankan satu sahaja kerusi Parlimen yang dimenangi oleh Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang, dengan majoriti 2,925 undi.
Manakala Mustafa yang mendapat 14,830 undi, tewas di Parlimen Jeli kepada calon PAS, Mohd Apandi Mohamad dengan majoriti 693 undi.
Ibrahim pula memperolehi 15,392 undi tetapi tewas kepada calon PAS Ismail Noh dengan majoriti 8,575 undi. Ismail mendapat 23,967 undi.

