Kementerian Dalam Negeri mulai hari ini tidak memperbaharui permit akhbar berpengaruh milik PAS, Harakah yang tamat semalam. Sepanjang 13 tahun beroperasi, inilah kali pertama tabloid itu menghadapi masalah memperbaharui permit.

"Selalunya seminggu sebelum tarikh permit tamat, KDN memberikan kelulusan," kata Pengarah Urusannya, Datuk Hishamuddin Yahya dalam satu sidang akhbar tadi.

Seorang pegawai bahagian kawalan penerbitan di KDN memberitahu malaysiakini bahawa pihaknya "tidak boleh terburu-buru membuat keputusan" dan "proses permohonan permit Harakah masih lagi dalam kajian." Pegawai itu membayangkan keputusan lanjut permit Harakah akan diketahui minggu depan.

Sementara itu, Hishamuddin berkata pihaknya tidak faham kenapa KDN melengah-lengahkan permit akhbar itu kali ini. "KDN sepatutnya memberikan alasan yang munasabah," katanya lagi, sambil menafikan permit itu tidak diperbaharui kerana tuduhan ke atas pengarangnya, Zulkifli Sulong, di bawah Akta Hasutan selepas menerbitkan artikel bertajuk 'Liputan Pengakuan Sukma Hina dan Jahat: Dr Chandra'.

Zulkifli dan pemilik syarikat percetakan akhbar itu, Chea Lim Thye, akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selama lima hari bermula 22 Mei ini.

Dalam sidang akhbar yang sama, Hishamuddin meminta maaf kepada pembaca Harakah dan ahli-ahli PAS di atas kegagalan menerbitkan Harakah untuk edisi Jumaat ini. Bagaimanapun, menurutnya, pembaca boleh mendapatkan keluaran hari itu melalui edisi internet akhbar ini di [#1] "http://www.harakah.net/"[/#]

Harakah memohon permit itu sejak bulan Disember tahun lalu lagi atas nama Jabatan Penerangan PAS Pusat.