Akhbar tabloid terbitan PAS, Harakah , tidak dapat diterbitkan hari Jumaat ini setelah Kementerian Dalam Negeri tidak memperbaharui permitnya yang tamat semalam.

Tabloid itu kini menunggu keputusan rasmi dari Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pengarangnya, Zulkifli Sulong, memberitahu malaysiakini bahawa pegawai KDN sudah menyerahkan fail permohonan memperbaharui permit ini kepada menteri berkenaan tetapi setakat ini masih belum mendapat sebarang jawaban.

"Saya tidak dapat agak. Kerajaan boleh berbuat apa sahaja," kata Zulkifli apabila ditanya apakah tabloid yang diterbitkan sejak 1987 itu akan diharamkan.

Seramai 60 kakitangan Harakah akan kehilangan pekerjaan jika tabloid yang menjadi suara Barisan Alternatif itu tidak diperbaharui permit.

Sementara itu, Pengarah Urusannya, Datuk Hishamuddin Yahya, akan mengadakan satu sidang akhbar di pejabat baru Harakah di 5 Jalan 65C, off Jalan Pahang Barat jam 2 petang ini.