Sebuah tabung pendidikan Melayu yang dipengerusikan oleh bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dilancarkan hari ini bagi mengumpul dana daripada masyarakat Melayu bagi membantu pelajar Melayu melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi (IPT).

Bagaimanapun, Razaleigh yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, ketika menjawab soalan pemberita kemudiannya, menegaskan penubuhan tabung dibuat semata-mata atas niat untuk membantu pelajar Melayu melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi, dan tidak sekali-kali bermotifkan politik.

Tabung yang dikenali sebagai Tabung Putra itu, dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong serentak dengan pelancaran dua lagi badan - Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu (PBPPM) dan Institut Penyelidikan Pendidikan dan Pembangunan Melayu (IPPPM) di Kuala Lumpur hari ini.

PBPPM dipengerusikan oleh tokoh pendidikan Tan Sri Arshad Ayub manakala IPPPM pula dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Zaidee Laidin.

Razaleigh yang ahli Parlimen Gua Musang turut menegaskan bahawa ketiga-tiga badan tersebut juga tidak akan menjadi 'badan pendesak' kepada kerajaan, kerana ianya diwujudkan semata-mata untuk membantu anak-anak Melayu cemerlang dalam bidang pendidikan sehingga ke peringkat tertinggi.

Badan-badan berkenaan akan mengambil inisiatif untuk melakukan apa yang sepatutnya dilakukan untuk membantu kemajuan pendidikan anak-anak Melayu tanpa 'menyusahkan' kerajaan.

Beliau menegaskan demikian ketika ditanya pemberita mengenai kemungkinan wujudnya tanggapan bahawa penubuhan ketiga-ketiga badan tersebut bermotifkan politik kerana beliau juga merupakah seorang ahli politik.

Kumpul sumbangan

Razaleigh antara pemimpin terkemuka dalam Umno dan nama beliau seringkali ditimbulkan setiapkali berlakunya perubahan dalam pucuk pimpinan komponen utama dalam Barisan Nasional.

Malah, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan persaraannya, banyak pihak yang berpendapat Razaleigh mungkin kembali semula aktif dalam politik tanahair.

Sebaliknya, Razaleigh berkata penubuhan tabung dan dua badan tersebut adalah merupakan perakuan yang diputuskan dalam Kongres Pendidikan Melayu yang berlangsung pada bulan September tahun 2001.

Ditanya sama ada tabung itu mampu mengumpul dana sepertimana yang diharapkan, Razaleigh menegaskan, sekiranya hanya 3 juta ibu bapa Melayu menyumbang RM10, tabung berkenaan sudah dapat mengumpulkan RM30 juta sebulan.

"Seandainya, sumbangan itu diteruskan setiap bulan, jumlahnya akan menjadi RM360 juta setahun bagi membantu anak-anak Melayu melanjutkan pelajaran di peringkat universiti di dalam dan luar negara," tegasnya.

Dalam tempoh lima tahun, katanya, tabung tersebut akan berupaya mengumpulkan hampir RM2 bilion.

Menurutnya lagi, melalui Tabung Putra itu, ibu bapa boleh membuka akauan sepertimana di Tabung Haji, dan lembaga amanah tabung berkenaan akan mengendalikan wang tabungan tersebut, untuk membuat pelaburan yang dijamin menguntungkan.

Jangan berdengki

Semua orang Melayu, termasuk penyimpan terbabit, kemudiannya boleh memohon bantuan daripada tabung berkenaan bagi membiayai kos pendidikan anak-anak mereka, tambahnya.

Menurut Razaleigh, pihaknya mengambil masa yang agak lama untuk melancarkan ketiga-tiga badan tersebut walaupun perakuan dibuat pada 2001, kerana memerlukan masa untuk mendapatkan kelulusan penubuhannya.

Setakat ini, kata beliau, pihaknya sudahpun mengadakan rundingan dengan pihak bank-bank berhubung kaedah yang akan digunakan untuk menerima tabungan daripada ibu bapa Melayu yang mahu menyertainya.

Untuk memberi peluang kepada semua pihak orang Melayu untuk menabung, pihaknya akan mengedarkan borang Tabung Putra di semua sekolah di seluruh negara.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Razaleigh berkata, untuk membolehkan orang Melayu menyaingi mereka yang lebih maju, mereka mesti berfikir beberapa tapak mendahului orang lain.

"Ia turut memerlukan kekuatan dan perancangan. Semua ini perlu digerakkan oleh jiwa-jiwa Melayu yang bersatu hati, yang proaktif dan yang tidak mencemburi kebaikan yang dibuat oleh saudara Melayu yang lain.

"Sekiranya cemburu dan hasad dengki masih menguasai oleh Melayu, kita tidak akan ke mana-mana. Kegagalan saudara kita tidak bermakna kemenangan untuk kita. Jadikan kejayaan saudara kita sebaga kemenangani kita," tambahnya.