Pemimpin yang bertanggungjawab memperkenalkan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah kebangsaan hari ini menyarankan supaya satu referendum diadakan mengenai perkara itu.

NONEBercakap kepada pemberita, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, referendum itu perlu mengenal pasti sama ada golongan miskin akan ketinggalan kerana dasar mengajar matapelajaran tersebut dalam bahasa kebangsaan.

"Mungkin kita harus lakukan referendum ... untuk mengetahui sama ada benar orang kaya menghantar anak mereka ke sekolah yang menggunakan bahasa Inggeris, manakala golongan miskin perlu pergi ke sekolah yang disediakan kerajaan, yang mengajar dalam bahasa Melayu.

"Kita tak tahu mungkin orang yang meminta pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu, menghantar anak-anak mereka ke sekolah bahasa Inggeris (swasta), "katanya.

Beliau menambah, sementara mengajar dalam bahasa Melayu adalah "baik" tetapi tidak begitu halnya dengan sains kerana ia adalah subjek yang "dinamik" dan sentiasa berubah.

"Anda tidak boleh mengikuti perkembangan dalam bidang Sains kecuali anda memahami bahasa di mana ilmu pengetahuan itu datang kepada kita. Setiap hari ada hasil, penemuan dan teori baru," tegasnya.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Dr Mahathir berkata masih belum terlewat sekiranya kerajaan ingin  memperkenalkan semula dasar PPSMI walaupun mereka memutuskan subjek itu diajar sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia pada 2016.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Kabinet hari ini memutuskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah akan dilaksanakan sepenuhnya dalam Bahasa  Malaysia pada tahun 2016 dan di sekolah menengah pada 2021.
    
Dr Mahathir berkata pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Malaysia akan mengakibatkan pelajar ketinggalan dalam menguasai ilmu pengetahuan baru.
    
"Mereka mungkin belajar asas sains tapi ketinggalan ilmu terkini. Bila hadir seminar, apa-apa yang bincang tentang sains, mereka tak akan faham. Kalau belajar kemudian, penguasaan tidak begitu baik seperti belajar dari asal," jelasnya.
    
Sementara itu, mengulas mengenai program  Seksualiti Merdeka 2011, Dr Mahathir berkata perlu ada batas kepada kebebasan dan menggesa supaya wujud sesuatu standard untuk rakyat mematuhinya.
    
"Saya tidak fikir kita perlu perkara seksualiti ini. Ia harus diharamkan. Itu pun kebebasan bersuara perlu ada had.

"Kita mesti ada peraturan berkenaan konsep perkahwinan, konsep keluarga dan perlu pegang kepada nilai-nilai mulia yang kita amalkan sekarang," katanya.