Kira-kira dua minggu lalu, saya ditanya seorang wartawan berkenaan perkara yang menarik tentang pesta konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Soalan itu cukup mudah, namun memberi satu impak hingga mendorong saya mencari jawapan yang tepat dan sebenar tentangnya.

Pesta Konvokesyen UIAM ke-27 - yang berlangsung seminggu bermula 8 hingga 15 Oktober ini - harus mempunyai tarika tersendiri, bukan sekadar kegairahan untuk memeriahkan suasana konvokesyen.

Asasnya, pesta konvokesyen bertujuan meraikan graduan yang berjaya mendapat segulung ijazah hasil kerja keras sepanjang proses pengajian dan pengalaman pencerahan ilmu di menara gading.

Seharusnya, untuk setiap kejayaan itu, perlu keraian sebagai perangsang untuk terus maju pada masa hadapan serta merintis jalan untuk meluaskan jalur intelek dan etika dalam masyarakat.

Namun, apabila proses itu mengalami pengulangan dan dilihat sebagai adat kebiasaan, maka objektif asal kewujudan perkara tersebut semakin kabur dan kadang-kadang tidak jelas.

Lantaran itu, timbul idea pelaksanaan yang meminggirkan kesucian nilai akademia dan intelektual yang menjadi fungsi penting sesebuah universiti.

Lantas, terdapat salah fahaman bahawa pesta konvokesyen harus diisi dengan hedonisme dalam usaha bagi mencipta dan mewujudkan momentum kemeriahan.

Apakah perkara ini yang seharusnya diyakini mahasiswa dan masyarakat tentang pelaksanaan pesta konvokesyen?

Apakah jenis pemikiran ini harus menjadi asas kepada refleksi modal insan yang menjadi harapan nusa bangsa kelak?

Persoalan ini secara tidak sengaja berlegar dalam benak fikiran saya sewaktu memikirkan jawapan bagi pertanyaan wartawan tersebut.

Oleh itu, saya melihat pendekatan dalam pesta konvokesyen harus melalui proses penjenamaan semula dari segi pelaksanaan program.

Seharusnya, pesta konvokesyen perlu didasari dengan semangat percambahan ilmu. Lebih-lebih lagi universiti sepatutnya bertindak sebagai pusat penyaluran ilmu yang memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat dalamnya, malahan golongan di sekitarnya juga.

Di Turki dan Indonesia misalnya, pesta konvokesyen penuh dengan pesta jualan buku.

Lantaran itu, pesta konvokesyen UIAM cuba menerapkan kesedaran ilmu melalui program seperti seminar penulisan.

Dalam masa yang sama, tidak dipinggirkan juga elemen kemeriahan melalui program lebih santai seperti pesta coklat, pameran besar dan persembahan Islam dan fun race .

Sekurang-kurangnya, pengunjung boleh mendapatkan sesuatu yang bermanfaat melalui aktiviti tersebut, lantas memberi impak positif dalam menjustifikasikan fungsi universiti sebagai pusat ilmu dan pembinaan masyarakat.

Saya juga berpandangan, objektif penubuhan universiti sendiri perlu mendasari segala aktiviti, termasuklah pesta konvokesyen.

Universiti sebagai institusi bagi mengembangkan potensi dan mentaliti masyarakat dari sudut kekuatan intelek dan rohaninya harus dijadikan batu asas kepada sebarang bentuk perbincangan dan pelaksanaan.

Contohnya di UIAM, misi "Triple ICE" iaitu integrasi ( integration ), pengantarabangsaan ( internationalization ), Islamisasi ( Islamization ) dan kefahaman menyeluruh (comprehensive excellence) seharusnya menjadi pemangkin dalam usaha untuk mencetuskan inspirasi.

Kesannya, universiti akan lebih bersifat inklusif dalam mendekatkan seluruh masyarakat dengan budaya keilmuan.

Tahniah kepada graduan yang bakal menerima segulung ijazah tidak kira dalam bidang apa dan di peringkat apa pun. Semoga produk yang lahir melalui pengalaman ilmu di universiti mampu disebarkan di kalangan masyarakat.


Penulis merupakan presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa.