Mesej untuk orang besar MIC
Lebih 10,000 ahli MIC akan menghadiri konvensyen jentera pilihanraya parti Ahad ini untuk memberikan mandat penuh kepada presiden parti Datuk Seri S Samy Vellu terus memimpin, menerajui parti.
Lebih 10,000 ahli MIC akan menghadiri konvensyen jentera pilihanraya parti Ahad ini untuk memberikan mandat penuh kepada presiden parti Datuk Seri S Samy Vellu terus memimpin, menerajui parti.
Mereka termasuk 4,300 pengerusi cawangan, ketua bahagian, ketua-ketua negeri dan pemimpin peringkat nasional, akan meluluskan resolusi menggesa bagi penerusan kepimpinan Menteri Kerja Raya itu terutama dalam mengemudi jentera pilihan raya MIC.
Bernama memetik beberapa pemerhati MIC sebagai berkata tujuan mereka meluluskan resolusi menyokong Samy Vellu itu ialah untuk menunjukkan kepada pemimpin politik tertentu dan kepada "sesetengah" orang besar MIC bahawa pemimpin berusia 67 tahun itu masih popular dan diperlukan.
Baru-baru ini, sejurus sebelum persaraan Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Barisan Progresif India (IPF) Datuk M.G. Pandithan membuat kenyataan pedas menggesa Samy Vellu meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada pemimpin muda.
Pandithan yang juga bekas naib presiden MIC, berkata adalah lebih mudah bagi IPF, parti serpihan MIC, menyertai Barisan Nasional jika timbalan presiden MIC Datuk S. Subramaniam yang memimpin parti itu.
Kenyataan pedas Pandithan itu telah membangkitkan kemarahan di semua pringkat ahli MIC - parti politik terbesar kaum India di negara ini.
Pertahan
Sebaik kenyataan itu dibuat, naib presiden MIC - Datuk S. Veerasingham, Datuk G. Palanivel dad Tan Sri K.S. Nijhar - mempertahankan Samy Vellu dan menggesa beliau kekal di tempatnya.
Malah, presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas turut mempertahankan pemimpin MIC itu kerana menurutnya Samy Vellu adalah satu-satunya pemimpin berwibawa buat masa ini untuk memperjuangkan isu-isu melibatkan masyarakat India di negara ini.
Menurut Bernama lagi, Subramaniam berdiam dari dalam isu itu sehingga didesak media supaya mengulas mengenai perkara itu. Beliau adalah timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna itu telah menjadi timbalan presiden MIC sejak 1981.
Ini telah membuatkan pemerhati politik merumuskan bahawa Subramaniam bermain politik kerana beliau tidak menyatakan sokongan penuhnya kepada Samy Vellu dan juga tidak membidas Pandithan kerana membuat gesaan itu.
Menurut seorang ahli jawatankuasa kerja pusat MIC, resolusi itu, selain dianggap sebagai satu isyarat jelas dari Samy Vellu bahawa "ahli MIC tetap bersama beliau" dan sebarang campurtangan luar tidak diperlukan, ia juga satu tamparan kepada Pandithan.
Konvensyen itu juga akan meluluskan dua lagi resolusi, iaitu mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir dan menyatakan ikrar sokongan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

