Pemilihan calon MCA untuk pilihan raya umum akan datang dibuat berdasarkan prestasi dan kemampuan untuk menang, bukan berdasarkan jantina, kata setiausaha agungnya Datuk Seri Kong Cho Ha hari ini.

    

"Ia berdasarkan peluang untuk menang dan oleh itu calon terbaik ditentukan oleh faktor kemampuan untuk menang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Wanita MCA di Wisma MCA hari ini.

    

mca youth agm 011011 girl Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan sama ada parti

itu akan meletakkan lebih ramai calon wanita pada pilihan raya umum akan datang berbanding sebelum ini.

    

Katanya Wanita MCA akan memainkan peranan penting dalam usaha meraih lebih undi pada pilihan raya akan datang.

    

Kong berkata berdasarkan maklum balas yang diterima, kini MCA berada dalam keadaan cukup bersedia untuk menghadapi pilihaan raya umum ke-13 apabila anggotanya lebih fokus dan bersatu.

    

Terdahulu, dalam ucapan perasmian, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana membantu Yayasan Usahawan Wanita Cina Malaysia dengan mewujudkan dana RM30 juta untuk melaksanakan skim kredit mikro melalui gandingan unik antara kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

    

Dilancarkan pada Julai tahun ini, penubuhan yayasan itu memberi peluang kepada usahawan wanita untuk mendapatkan pinjaman antara RM10,000 dan RM10,000, bergantung pada jenis perniagaan yang diceburi.

    

Kira-kira 4,500 usahawan wanita mendapat manfaat daripada skim pinjaman itu, yang diilhamkan penasihat Persatuan Suku Lim Malaysia, Tan Sri Lim Soon Peng.

Sementara itu, Ketua Wanita MCA Datuk Yu Chok Tow berkata pergerakan itu  akan mencalonkan lebih ramai muka baru yang berpeluang cerah untuk menang, dan mereka sememangnya berkebolehan dan mempunyai pendidikan yang tinggi.

    

Beliau memberitahu pemberita bahawa MCA perlu meletakkan lebih ramai calon wanita berbanding 15 pada pilihan raya umum 2008 bagi ke arah mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam bidang politik.

    

Katanya 106,604 daripada 431,648 anggota Wanita MCA terdiri daripada golongan beliawanis dan pergerakan itu bersedia memberi laluan kepada golongan muda untuk menjadi calon.

    

Dalam ucapannya, Yu berkata MCA banyak menabur bakti kepada masyarakat Cina, termasuk dalam bidang pendidikan melalui penubuhan Kolej Tunku Abdul Rahman dan Universiti Tunku Abdul Rahman.

    

Selain itu, beliau berkata Wanita MCA menolak pelaksanaan hukum hudud yang dicadangkan PAS, sambil menyifatkannya sebagai strategi politik parti pembangkang tersebut.

    

Yu berkata percanggahan pendirian dalam kalangan pemimpin pembangkang mengenai hukum hudud menunjukkan mereka masing-masing mempunyai agenda tersendiri dan tidak berminat untuk membangunkan rakyat keseluruhannya.

- Bernama