Maklumat balas masyarakat dan orang perseorangan menunjukkan polis berjaya memulihkan imejnya selepas insiden "mata lebam" melibatkan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Tan Sri Norian Mai yang bersara hari ini sebagai Ketua Polis Negara.

Katanya, beliau dapat merasakan pandangan itu semasa membuat kunjungan perpisahannya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum beliau bersara sebagai perdana menteri beberapa hari lepas.

Namun begitu, ketika menjawab soalan wartawan mengenai perkara tersebut, Norian berkata, ia bergantung kepada bagaimana masyarakat, orang biasa dan kerajaan menilai perkara tersebut..

Menurut laporan Bernama, Norian berkata, beliau sendiri sukar menilainya, tetapi berdasarkan maklum balas masyarakat dan orang perseorangan, imej polis telah pulih daripada insiden tersebut.

Norian mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara daripada Tan Sri Abdul Rahim Noor dalam kehangatan apa yang dikenali sebagai insiden "mata lebam" melibatkan Anwar.

Abdul Rahim dikenakan hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 oleh mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Mac 2000 selepas beliau mengaku salah menyebabkan kecederaan terhadap Anwar dalam lokap di Bukit Aman di sini pada 10.45 malam pada 20 Sept, 1998.

Rasuah

Anwar ditahan pada hari yang sama kerana terlibat dalam satu tunjuk perasaan anti-kerajaan dan telah dibawa ke Bukit Aman dan ditempat di dalam sebuah sel.

Norian, yang menyambut hari jadinya ke-57 esok, menyertai PDRM pada 1969. Perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara dilanjutkan oleh kerajaan selama dua tahun setelah mencapai umur persaraan wajib pada 2001.

Beliau akan digantikan oleh timbalannya Datuk Seri Mohd Bakri Omar (kiri) mulai Khamis ini.

Mengenai perkara lain, Norian melahirkan rasa bimbang kerana terdapat anggota polis muda yang terlibat dengan rasuah.

Bagi mengatasi masalah itu, katanya, pelbagai kursus dan seminar diadakan di semua peringkat bagi melengkapkan anggota polis dengan maklumat lebih baik selain yang berunsur agama supaya mereka menjauhi gejala tidak sihat.

Bagaimanapun, Norian menegaskan bahawa beliau tidak bertolak ansur dengan sebarang salahlaku atau perbuatan melanggar disiplin sama ada yang melibatkan pegawai tinggi atau anggota biasa.

Katanya setiap tahun, ramai anggota polis dipecat atau didakwa di mahkamah kerana salahlaku, jumlahnya melebihi agensi penguatkuasa kerajaan yang lain.

Kampung Medan

Mac lalu, katanya, tindakan disiplin telah diambil terhadap beberapa pegawai polis yang gagal mengikut prosedur ketika menahan 186 pekerja IT dari India di Brickfields.

Kerajaan India membantah insiden itu hingga mendorong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang merupakan timbalan perdana menteri ketika itu, mengarahkan Kementerian Luar menghantar surat memohon maaf.

Mengenai cabaran terbesar sebagai Ketua Polis Negara, Norian berkata ia termasuk menghapuskan ancaman kumpulan militan al-Ma'unah pada 2000 dan mengembalikan keamanan ekoran rusuhan penduduk di Kampung Medan pada 2001, kerana beliau pada awalnya bimbang ia boleh menggugat keselamatan negara.

Selain kedua-dua peristiwa itu, katanya, polis juga terpaksa berdepan dengan rungutan tentang kadar jenayah yang tinggi khususnya di bandar setelah polis didakwa "tidak bertindak secukupnya untuk mengatasi masalah itu."

"Polis menghadapi masalah untuk meyakinkan orang ramai kerana mereka tidak faham bahawa polis juga perlu mengerahkan dan mengoptimumkan sumber tenaganya bagi tugas yang bukan berbentuk pencegahan jenayah," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa anggota polis perlu ditugaskan juga bagi urusan logistik, pentadbiran, Cawangan Khas, marin dan penguatkuasaan lain.