Rustam Sani tuduh KDN berniat jahat
Penulis tamu Harakah , Rustam A. Sani, mengecam hebat tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerana menghadkan penerbitan tabloid itu daripada lapan kepada dua kali sebulan. Beliau menyifatkan tindakan kementerian terbabit sebagai "pengecut, berniat jahat, amat memalukan dan tidak bertanggungjawab."
"Nyatalah bahawa kerajaan memang mempunyai tujuan politik jahat untuk menutup mulut pihak pembangkang - sedangkan kerajaan sendiri bebas memperalat dan memperkuda semua media arus perdana untuk bacaan umum di negara ini," kata Rustam dalam satu kenyataannya yang sarat dengan kecaman kepada malaysiakini hari ini.
"Tindak tanduk kementerian itu dengan jelasnya memperlihatkan sikap bermusuhan kerajaan terhadap demokrasi dan terhadap kebebasan media di negara ini."
Rustam, yang juga Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) berkata pemimpin kerajaan, terutamanya pemimpin Umno, tidak berani berhadapan dengan kebenaran yang terus menerus akan didedahkan oleh parti-parti pembangkang.
Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyifatkan tindakan KDN itu sebagai menunjukkan betapa cemasnya kerajaan cuba menghindarkan rakyat daripada mendapat maklumat.
"Dalam zaman kita melaung-laungkan teknologi maklumat, tindakan menyekat kebebasan bersuara merupakan satu hipokrasi dan permainan politik kotor yang susah untuk dipertahankan," kata Setiausaha Agung jawatankuasa penajanya, S. Arutchelvan hari ini.
PRM dan PSM mendesak kerajaan agar membenarkan PAS menerbitkan Harakah seperti biasa, dan sekatan-sekatan yang tidak munasabah terhadap pengedarannya ditarik balik.
Permohonan PAS untuk menerbitkan sebuah akhbar harian, Purnama, patut dipertimbangkan semula secara "adil, demokratis dan tidak pengecut," kata Rustam lagi.

