Boikot akhbar Syaitan
Semalam, Jawatankuasa Monitor Media (JMM) yang dianggotai aktivis-aktivis BA melancarkan kempen memboikot dua akhbar harian tersebut dan segmen berita TV3. Menurut Pengerusinya, Rustam A Sani, usaha memboikot itu bertujuan menyampaikan "pendidikan politik demokrasi".
Beliau menyedari bahawa kejayaan itu bergantung pada sambutan orang ramai. "Program ini akan diteruskan di tempat-tempat lain dan kami berharap rakyat akan lebih sedar tentang peranan media dan kewartawanan yang sewajarnya diamalkan," Rustam memberitahu malaysiakini.
Seramai tiga ribu orang menghadiri program selama lebih tiga jam. Beberapa pemimpin utama Parti Keadilan Nasional, PAS, Parti Rakyat Malaysia dan aktivis gerakan reformasi menyertainya. Selain beribu-ribu tandatangan dan mesej protes, program waktu petang itu - selalunya pengunjung tidak ramai - juga berjaya mengutip sumbangan RM2700 dan menjual 2,000 helai baju T yang membawa mesej kempen tersebut.
"Kehadiran beribu-ribu orang itu membuktikan rakyat benar-benar marah terhadap tiga media itu," kata Rustam.
"Kita mempunyai jawatankuasa khas memantau media dan prestasi ketiga-tiga media ini," jelas beliau apabila ditanya sejauh mana keberkesanan program boikot itu. JMM juga akan mengadakan roadshow ke seluruh Malaysia selama tiga bulan kempen ini berjalan.
Malaysiakini pernah melaporkan akhbar Utusan Malaysia tidak gentar terhadap kempen memboikot media yang dianjurkan oleh jawatankuasa itu. Menurut sumber Jabatan Pemasaran Utusan, pihaknya tidak yakin langkah JMM itu akan berkesan.
"Tidak ada sebab pihak kami perlu mengendahkan isu
yang ditimbulkan oleh segelintir pihak yang tidak berpuas hati," kata seorang pegawai
jabatan itu.

