Pilihanraya umum akan datang dijangka memberi "jawapan" sama ada sebab utama kejayaan parti pembangkang merampas lapan kerusi negeri di Pahang pada 1999 adalah faktor pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Umno dan kerajaan.

Ketika menegaskan demikian, sumber-sumber yang rapat dengan Umno negeri, berpendapat seandainya kemenangan pembangkang itu kerana faktor Anwar, maka peluang Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, untuk merampas semula kerusi terbabit dijangka cerah.

"Ini kerana, berdasarkan perkembangan politik semasa, pengaruh bekas timbalan perdana menteri itu, tidaklah sehebat sejurus selepas beliau dipecat, dan sewaktu pilihanraya umum 1999.

"Sebaliknya jika faktor Anwar bukan punca utama kemenangan pembangkang, maka BN, khususnya Umno negeri perlu bekerja kuat untuk menghadapi pilihanraya umum nanti," kata sumber-sumber itu lagi.

BN tewas di lapan daripada 38 kerusi negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum 1999. Daripada jumlah itu, PAS memenangi enam kerusi manakala Keadilan dan DAP masing-masing menang satu kerusi.

PAS menang di Tahan dengan majoriti 103 undi, Jengka (319), Guai (523), Penur (1,925), Kuala Pahang (1,850) dan Semantan (1,314). Keadilan pula menang di Cini (5) dan DAP di Teriang (2,950).

Berdasarkan majoriti di atas, PAS pada dasarnya, mampu mempertahankan Penur, Kuala Pahang dan Semantan, manakala DAP dijangka tidak menghadapi sebarang masalah di Tering.

Punca sebenar

Namun begitu, BN juga mencatatkan kemenangi yang dianggap tipis di 11 lagi DUN di mana calon-calonnya memperolehi majoriti di bawah 1,000 undi.

Ini bererti, selain daripada lapan kerusi milik pembangkang, persaingan hebat dijangka berlaku di kesemua sebelas kerusi terbabit, yang boleh memihak sama ada kepada pembangkang atau BN.

Menurut sumber-sumber tersebut, Umno sendiri pun tidak pasti sama ada kemenangan pembangkang di Pahang ada kaitan dengan pemecatan Anwar pada 1998.

"Di kawasan di mana pembangkang, khususnya PAS memang dengan majoriti kecil, ia mungkin boleh dianggap ada kaitan dengan kes Datuk Seri Anwar, seperti di Tahan, Jengka dan Cini.

"Tetapi calon-calon PAS juga berjaya memperolehi majoriti besar di Penur (1,925), Kuala Pahang (1,850 dan Semantan (1,314). Dalam hal ini mungkin ada sebab lain yang perlu diselidiki oleh kepimpinan Umno negeri," tambah sumber-sumber itu.

Menurutnya lagi, walaupun Pahang mendapat tambahan empat lagi kerusi negeri, menjadikannya 42 dalam pilihanraya umum akan datang, tetapi ianya dijangka tidak memberi kelebihan kepada BN.

Dalam persempadanan semula kawasan pilihanraya bagi Parlimen dan Negeri baru-baru ini, selain tambahan empat kerusi negeri, Pahang juga mendapat tambahan tiga kerusi Parlimen, iaitu tambahan daripada sebelas kepada 14 kerusi.

Pahang dan Kedah adalah merupakan antara negeri yang menjadi sasaran utama PAS untuk menguasai lebih banyak kerusi negeri dalam pilihanraya umum akan datang.

Kempen PAS

Berikutan itu parti berkenaan telah melancar kempen di negeri tersebut dengan menimbulkan beberapa tuduhan terhadap kepimpinan Umno negeri, antaranya dakwaan skandal balak, serta isu pemberian lesen mesin slot kepada sebuah syarikat peranginan yang beroperasi di Bukit Tinggi.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan, Bukit Tinggi Resort, telah mengambil keputusan menutup pusat mesin slot itu selepas menerima bantahan pelbagai pihak, khususnya dari PAS.

Mengenai tuduhan PAS tersebut, khususnya skandal balak yang didakwanya membabitkan pemimpin tertinggi Umno negeri, sumber-sumber itu berkata, ianya bukan perkara baru, sebaliknya turut dibangkitkan dalam pilihanraya umum lalu.