Pembangkang juga diserang Internet
Komentar secara khusus mengecam Timbalan Presiden KeADILan Dr Chandra Muzaffar yang dikatakan bercanggah pandangan dengan Presiden parti itu Dr Wan Azizah Ismail dan Ketua Pemudanya Mohd Ezam Mohd Noor.
Satu tulisannya bertajuk 'Chandra mengkhianati arahan Anwar,' mendakwa Chandra seolah-olah menolak cadangan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya parti itu bergabung dengan sebuah lagi parti dalam Barisan Alternatif, Parti Rakyat Malaysia. Beliau dikatakan membuat kenyataan bahawa Anwar tidak mengetahui apa-apa kerana tokoh utama gerakan reformasi itu kini di dalam penjara. Tulisan itu, bertarikh 24 Januari lalu, juga mendakwa ahli-ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu tidak berani menyanggah pendirian Chandra dalam hal itu.
Ezam mengecam tulisan di laman web itu. "Itu semua bohong dan cerita itu sengaja diada-adakan," katanya kepada malaysiakini.
"Saya berada dalam semua mesyuarat tersebut dan tidak ada apa-apa kejadian pun seperti itu," katanya lagi sebagai mengulas pendirian yang didakwa dibuat oleh Chandra.
Beliau menambah tulisan-tulisan dalam Internet itu memang dibincangkan dalam mesyuarat MPT tetapi parti tidak mengambil apa-apa keputusan mengenainya. "Kami mengambil keputusan untuk membiarkannya kerana maklumat seumpama itu tidak lama lagi tidak akan dipercayai," katanya, sambil menambah parti sukar menghapuskan masalah tersebut.
Apabila ditanya pihak yang bertanggungjawab menulis dan menyiarkan maklumat tersebut di tapak web itu, Ezam menjawab, "saya betul-betul tidak tahu." Beliau bagaimanapun dipetik dalam The Star pada Sabtu lalu sebagai berkata tulisan itu dipercayai disediakan oleh segelintir ahli parti yang tidak berpuas hati terhadap beberapa keputusan dan mahu melepaskan geram mereka kepada parti.
"Boleh jadi juga tulisan itu disebarkan oleh Umno atau orang luar dan mereka sukar dikenal pasti," akhbar itu memetik Ezam.
Komentar juga mendakwa Naib Presiden parti itu Marina Yusoff, Setiausaha Agung Annuar Tahir dan peguambela Zainur Zakaria menggunakan kedudukan mereka dalam parti untuk kepentingan peribadi. Ia menuduh Marina menggunakan taktik-taktik kotor dalam kempen pilihanraya, Annuar pula tidak tahu membezakan antara fakta dan kepalsuan, sementara Zainur dituduh menghancurkan penyokong-penyokong reformasi di Kuala Lumpur.
Sementara itu, tulisan-tulisan yang disediakan di laman Komentar disiarkan semula dalam beberapa laman web reformasi yang lain, menimbulkan lebih banyak kritikan daripada penyokong-penyokong parti itu yang berasa tapak-tapak web sepatutnya tidak menyiarkan tulisan-tulisan antipembangkang.
Bagaimanapun, Pengarang majalah yang sedang digantung permitnya Detik, Ahmad Lutfi Othman, berkata perbincangan seumpama itu memberikan satu saluran untuk mengurangkan kekeliruan, daripada membiarkannya disebarkan secara meluas tanpa sebarang fakta sebenar.
"Walapun dari satu sudut, penyiaran tulisan itu mungkin membawa kesan buruk kepada reformasi tetapi ia tidak sepatutnya menimbulkan kontroversi yang berlebihan," kata Lutfi melalui satu tulisan yang disiarkan dalam Laman Reformasi.
"Maklumat yang tidak tepat boleh dibetulkan, salah tafsiran boleh diperjelaskan," tambahnya.
Minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamed kesal bahawa pembangkang menggunakan
Internet untuk menyebarkan berita bohong. Beliau mendakwa tapak-tapak web reformasi
menyebarkan berita angin kononnya beliau terjatuh dari kuda ketika bercuti di Argentina
dan sebilangannya membuat spekulasi bahawa pemimpin berusia 74 tahun itu sudah mati.
Perdana Menteri menafikannya, sambil menegaskan beliau dalam keadaan sihat selama tujuh
hari di Argentina.

