Pertama kali dalam sejarah negara ini, syarikat-syarikat rokok akan dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menimbulkan mudarat kesihatan kepada pengguna. Satu kumpulan warga prihatin merancang menfailkan saman terhadap syarikat-syarikat berkenaan yang didakwa menyebabkan masalah kesihatan akibat merokok dan menghidup asap rokok.

"Kami menyaman syarikat-syarikat tembakau kerana gagal memberitahu orang ramai kesan-kesan berbahaya tabiat merokok," kata Koh Eng Bing, Pengerusi Jawatankuasa Penaja Persatuan Anti-Merokok (ASA).

Koh berkata persatuannya sedang menyenaraikan beberapa individu yang akan mengambil bahagian dalam tindakan mahkamah untuk mendapatkan pampasan dari syarikat-syarikat rokok. Beliau menambah ASA, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang diasaskan pada Mei lalu bertujuan menyedarkan orang ramai akan bahaya merokok, memainkan peranan utama dalam proses perundangan itu terhadap penjual-penjual rokok.

Menurut Koh, ASA membuat keputusan menggunakan saluran undang-undang setelah kecewa terhadap sikap kerajaan yang disifatkannya tidak membantu kempen mereka menentang tabiat merokok. Beliau berkata sebelum ASA ditubuhkan, beberapa anggota kempen antimerokok telah menghantar tujuh memorandum kepada kementerian terbabit, termasuklah Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri.

Memorandum itu menggesa kerajaan agar mengambil tindakan tegas terhadap isu pertambahan perokok yang kini berjumlah 1.6 juta orang, dan 17 peratus daripada jumlah itu berusia bawah 18 tahun.

"Perokok dari tahun ke tahun semakin muda," jelas Koh. "Kami mendesak kerajaan mengenakan cuaki yang tinggi ke atas tembakau dan mengharamkan jualan tembakau kepada kanak-kanak. Bagaimanapun, kami tidak menerima maklumbalas yang sewajarnya dari pihak berkuasa."

Sebabnya, jelas Koh lagi, ialah "kerajaan takut kepada syarikat-syarikat korporat multinasional yang besar-besar kerana ia menerima RM1.3 ribu juta setiap tahun daripada cukai ke atas tembakau."

Koh bergerak cergas berkempen menentang tabiat merokok sejak beliau bertugas sebagai seorang tutor di Universiti Malaya pada 1986. Sekarang seorang usahawan, Koh bersama rakan-rakannya dalam ASA berusaha mendapatkan keadilan untuk mereka yang mengalami masalah kesihatan akibat tabiat merokok dan menghidu asap rokok.

"Barah paru-paru merupakan salah satu pembunuh utama di negara kita," kata Koh. Beliau menjelaskan syarikat-syarikat rokok mengaku di mahkamah-mahkamah Amerika Syarikat bahawa tembakau menyebabkan barah.

Beliau memberitahu malaysiakini bahawa ASA telah cuba meletakkan papan iklan "Merokok Membahayakan Kesihatan" di beberapa bandar utama di negara ini. Mereka hanya berjaya di Manjung, Perak selepas berhujah selama tiga bulan dengan pihak berkuasa tempatan di sana. Bagaimanapun, di bandar-bandar lain mereka belum menerima sebarang persetujuan.

Keadaan ini, kata Koh, agak janggal. "Kami bersedia membayar papan tanda iklan antimerokok, tetapi gagal mendapat persetujuan. Tetapi iklan dan poster rokok dipaparkan di sana sini tanpa sebarang masalah daripada pihak berkuasa tempatan," jelasnya.

Koh juga mengkritik media kerana tidak bersedia memberikan kerjasama membuat liputan kempen antimerokok dan malah tidak bersedia menerbitkan iklan antirokok mereka.

"Mungkin mereka takut tidak mendapat hasil iklan daripada syarikat-syarikat tembakau," jelasnya.

Bagaimanapun, ASA berjaya juga menyiarkan satu iklan pada 25 Disember lalu dalam China Press bagi mendapatkan khidmat guaman daripada firma dan peguam yang sedia menawarkan khidmat kepada ASA sama ada secara tindakan individu atau kumpulan dalam usaha mereka menyaman syarikat rokok.