Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) menafikan ianya menjadi rakan penganjur forum 'Siapa kata demonstrasi haram' yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Rektornya, Prof Dr Mohammad Khalifa Al Tamimi berkata, MEDIU amat dukacita dengan tindakan pihak tertentu yang membabitkan MEDIU sebagai penganjur forum tersebut.

"Ingin dijelaskan MEDIU tidak pernah dimaklumkan tentang perkara ini sama ada secara langsung atau tidak langsung dan tidak pernah mengizinkan penggunaan nama MEDIU," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Saya menafikan dakwaan MEDIU turut menjadi rakan penganjur seperti yang didakwa menerusi kenyataan akhbar pihak Masjid Negara semalam dan iklan-iklan yang disebarkan melalui internet," tambahnya.

Prof Dr Mohammad berharap penjelasan ini memberi gambaran jelas mengenai peranan utama MEDIU yang memberi penumpuan dalam sektor pendidikan negara semata-mata dan berusaha bersama Kementerian Pengajian Tinggi bagi menjadikan Malaysia hub pendidikan bertaraf dunia.

Semalam, Masjid Negara dilapor menafikan maklumat dalam sebuah lamanweb kononnya ia akan menjadi tuan rumah forum tersebut.

Imam Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammmad dilaporkan berkata pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan secara langsung daripada penganjur untuk mengadakan forum itu.

Beliau dilaporkan berkata, penganjur forum itu - yang disebut sebagai Pertubuhan Ilmuan Muda Malaysia (ILMU) serta rakan penganjur mereka iaitu MEDIU, Pertubuhan Kebajikan Al-Qalam dan Badan Persatuan Perkhidmatan Penerangan Islam - tidak pernah menghubungi mana-mana pegawai mahupun petugas kami.

Oleh yang demikian, kata Syaikh Ismail, pihak pentadbiran Masjid Negara menafikan akan berlangsungnya forum perdana seperti tersebar di laman sesawang itu dan tidak pernah memberi sebarang kebenaran untuk meluluskan program itu.