Larangan terbang Tiger Airways dilanjut
Masa depan Tiger Airways di Australia kelihatan pudar apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) meletak jawatan dan keputusan lembaga keselamatan industri penerbangan melanjutkan larangan terbang terhadapnya sehingga akhir bulan ini.
Lembaga Keselamatan Penerbangan Awam (CASA) akan mendapatkan lanjutan larangan terbang terhadap syarikat penerbangan bajet itu sehingga 1 Ogos dari Mahkamah Persekutuan di Melbourne sama ada pada Khamis atau Jumaat.
Hanya beberapa jam selepas pengumuman itu pada malam Rabu, CEO Tiger Crawford Rix berkata beliau akan menamatkan perkhidmatannya di syarikat itu pada 31 Julai.
Beliau akan diganti oleh Presiden Kumpulan Tiger Airways Holdings Tony Davis, yang dihantar dari Singapura bagi mengetuai perundingan dengan CASA.
CASA telah mengenakan larangan terbang awal seminggu terhadap syarikat penerbangan itu pada 2 Julai kerana percaya ia "berhadapan risiko serius dan tidak dapat dielakkan" terhadap keselamatan udara.
Jurucakap CASA Peter Gibson memberitahu Australian Associated Press bahawa lebih banyak persoalan dilontarkan sambil pihak penyiasat memeriksa buku Tiger.
Katanya siasatan membuktikan tanggung jawab besar untuk dilaksanakan dan tidak dapat dilengkapkan dalam tempoh asal seminggu.
- Bernama

