Malaysia akan meliberalisasikan sektor perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan perniagaan, penjagaan kesihatan dan pendidikan secara berperingkat-peringkat, dengan melonggarkan sekatan terhadap penyertaan ekuiti asing.

Liberalisasi berperingkat itu akan berasaskan kepada sumbangan semasa dan potensinya kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).

Liberalisasi berkenaan mengikut Standard Antarabangsa dan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI), yang merupakan antara enam SRI yang diumumkan kerajaan di Kuala Lumpur hari ini.

Pada masa ini, sektor perkhidmatan menyumbang kira-kira 57 peratus kepada ekonomi Malaysia berbanding antara 70 peratus dan 80 peratus bagi negara maju.

Berikut adalah cadangan bagi tiga sektor berkenaan untuk dilaksanakan secara berperingkat-peringkat:

Bagi Penjagaan Kesihatan:

  • Melonggarkan sekatan penyertaan ekuiti asing dalam penubuhan hospital.
  • swasta khusus dengan jumlah katil minimum.
  • Melonggarkan sekatan kemasukan pakar luar seperti doktor dan doktor gigi.

Bagi Pendidikan:

Kelonggaran secara beransur-ansur sekatan ekuiti asing di sekolah
antarabangsa di samping mengekalkan garis panduan bagi memastikan kualiti dan standard institusi pendidikan.
Melanjutkan kesahan permit mengajar sehingga lima tahun.
    
Bagi Perkhidmatan Perniagaan (Perkhidmatan Profesional)

  • Tidak mengenakan sekatan ekuiti bagi perkhidmatan perakaunan, perundangan dan kejuruteraan.
  • Kelonggaran syarat masuk bagi peguam, jurutera dan arkitek luar untuk bekerja di Malaysia.
    
Kerajaan juga akan berusaha ke arah menambah baik kualiti barangan dan perkhidmatan Malaysia serta meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa.

--Bernama