Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, dalam menangani isu kenaikan kadar langganan Astro, menteri berkuasa campur tangan dalam menentukan harga setiap perkhidmatan yang ditawarkan demi untuk kepentingan orang ramai.

NONEMenurut suruhanjaya itu, kuasa kepada menteri berkenaan diperuntukkan dalam 199 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM).

"Proses siasatan awam bukanlah pra-syarat kepada perlaksanaan seksyen akta tersebut.

"Ini bercanggah dengan ulasan yang dibuat oleh beberapa media bahawa siasatan awam perlu diadakan sebelum seksyen 199 di bawah AKM berkenaan penetapan harga oleh menteri digunapakai," kata SKMM.

Berikut kenyataan penuh SKMM, seperti diedarkan Bernama:

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ingin menjelaskan mengenai pelbagai laporan yang dipaparkan oleh media mengenai keputusan Kabinet untuk tidak membenarkan stesen TV berbayar Astro untuk menaikkan kadar harga langganan.  

SKMM ingin menyatakan bahawa Seksyen 199 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) memberi kuasa kepada Menteri untuk campur tangan dalam menentukan harga setiap perkhidmatan yang ditawarkan demi untuk kepentingan orang ramai. Proses Siasatan Awam bukanlah pra-syarat kepada perlaksanaan seksyen Akta tersebut. Ini bercanggah dengan ulasan yang dibuat oleh beberapa media bahawa Siasatan Awam perlu diadakan sebelum Seksyen 199 di bawah AKM berkenaan penetapan harga oleh Menteri digunapakai.

Mengenai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) SKMM adalah sebuah badan berkanun ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (AKM) yang melaksana dan mempromosikan matlamat dasar kebangsaan Malaysia bagi sektor komunikasi dan multimedia.  SKMM mengawalselia dan menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia yang merangkumi bidang telekomunikasi, penyiaran, dan juga perkhidmatan internet, pos dan pensijilan digital.

AKM mengadakan peruntukan kepada SKMM peranan melaksanakan dasar, manakala kuasa membuat keputusan tentang dasar diperuntukkan kepada Menteri.  Menteriboleh juga mengeluarkan arahan mengenai dasar kepada Suruhanjaya. Untuk maklumat lanjut, layari www.skmm.gov.my.