Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan bahawa peguam profesional tidak perlu terlibat dengan demonstrasi jalanan.

Ini kerana, katanya, Malaysia sebagai negara berdaulat mempunyai undang-undang dan perlembagaan sendiri.

NONE"Justeru, kita hendaklah bertindak secara rasional dan profesional bukannya emosianal, tanpa perlu menggadai harga sebuah keamanan dan keharmonian yang kita perolehi hasil perjuangan para pejuang bangsa, agama dan negara," katanya.

Teguran Najib itu dipercayai bagi membendung perhimpunan besar-besaran menuntut pilihan raya bersih dan adil atau BERSIH yang dirancang pada 9 Julai ini di ibu negara.

Menjelang tempoh itu, pelbagai pihak - termasuk aktivis peguam - ditahan dan diarah polis memberikan keterangan atas pelbagai alasan, termasuklah menghasut, mengajak orang ramai menyertai perhimpunan haram dan memakai baju BERSIH.

Berucap ketika merasmikan konvensyen peguam syarie kedua di Kuala Lumpur hari ini, Najib turut menegaskan keperluan mengukuhkan perpaduan dan keamanan negara.|

NONEKatanya, dengan mengambil kira semangat Piagam Madinah di zaman Nabi Muhammad, beliau memperkenalkan gagasan 1Malaysia berpaksikan Rukun Negara bagi menjamin hasrat itu.

"Piagam Madinah merupakan perjanjian berunsurkan jaminan keselamatan dan keharmonian penduduk dalam sebuah negara," katanya.

Bercakap di hadapan 1,000 peguam syarie daripada seluruh negara, Najib yang kelihatan segak bersongkok berkata, profesyen guaman sama ada syariah atau sivil amat dihormati serta berpengaruh dalam masyarakat.