;Kerajaan tidak berani mengharamkan Harakah," menurut Zunar, "walaupun isu ini hangat sekarang." Jika cuba mengharamkan tabloid PAS ini, kerajaan semakin tidak popular; sebaliknya, akhbar ini terus mendapat sambutan ramai, kata kartunis Harakah itu kepada malaysiakini hari ini. "Kemungkinan Harakah diharamkan adalah tipis."

Pada Khamis dan Jumaat lalu sebanyak 2,630 naskhah Harakah dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu operasi di Lembah Kelang. Jurucakap bahagian pemasaran Harakah menyatakan sudah tiga kali operasi rampasan seumpama dijalankan tahun ini sahaja.Tabloid yang diterbitkan dua kali seminggu itu dijual sebanyak 300,000 pada setiap keluaran. Menjelang kempen pilihan raya umum lalu organ PAS ini dicetak sebanyak 400,000 naskhah dan mendapat sambutan hangat.

Pemerhati politik berpendapat salah satu punca kejayaan parti Islam itu adalah kerana liputan dan pengaruh Harakah. Akibatnya pihak kerajaan berasa perlu untuk mengawal pengaruh lidah rasmi PAS itu. Semalam beberapa ahli Dewan Negara menggesa akhbar itu agar lebih bertanggungjawab memastikan edarannya terhad kepada ahli-ahli parti itu sahaja.

Senator Datuk Zainuddin Maidin, Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, pula berpendapat tabloid itu "menyebarkan pembohongan yang dahsyat."

"Sekiranya benar Harakah dipenuhi unsur-unsur fitnah dan propaganda, tuduhan ini perlu dibuktikan. Kita tidak mahu Harakah dan PAS terus dikambing-hitamkan oleh Barisan Nasional bagi menutup segala kelemahan mereka," ulas Ketua Pemuda PAS Pusat Mahfuz Omar tentang sikap terbaru kerajaan terhadap Harakah.

Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika pertama kali mengulas isu rampasan Harakah berhujah, tindakan KDN itu diambil kerana akhbar PAS dijual kepada bukan ahli parti.

"Harakah telah melanggar undang-undang atau permit yang dikeluarkan kerana itu polis dan KDN merampas akhbar itu di tempat terbuka," katanya.

Bagaimanapun, menurut satu sumber utama Harakah, pihaknya telah cuba mematuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh kementerian sejak dari mula-mula permit tabloid itu dikeluarkan.

"Kita menjual akhbar ini dalam kuantiti yang banyak. Kemudian akhbar ini dihantar ke setiap zon dan diedarkan oleh agen-agen pengedar ke kawasan-kawasan PAS. Urusan pengedaran dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan," jelas sumber itu.

Menurut sumber itu lagi, pihaknya tidak dapat mengawal para pembaca yang bukan ahli daripada membeli akhbar itu kerana perkara ini bukan dalam bidang kawalan pihak Harakah sendiri.

"Sekiranya terdapat ahli-ahli PAS yang meminjamkan atau memberikan akhbar tersebut kepada rakan-rakan mereka, adakah ini dianggap salah disisi undang-undang?"

Namun begitu Harakah mempertikaikan tindakan KDN mengenakan beberapa syarat yang sengaja dibuat-buat. Pada Mac lalu, KDN mengarahkan lidah rasmi PAS itu tidak boleh dijual bersama akhbar-akhbar lain, sebaliknya ia perlu dipamerkan di atas rak-rak yang berasingan.

"Kami membelanjakan RM70,000 semata-mata membeli rak untuk diberikan kepada pengedar-pengedar akhbar di seluruh Malaysia," jelas sumber itu.

Enam bulan berikutnya KDN mengeluarkan satu lagi arahan supaya akhbar tersebut hanya boleh dijual di markas-markas PAS dan syarat ini menyukarkan ahli-ahli PAS yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur mendapatkan akhbar tersebut.

Langkah terbaru KDN ini disifatkan beberapa pihak sebagai menganggu kebebasan akhbar di Malaysia. Irene Xavier dari Inisiatif Manifesto Rakyat dalam kenyataannya kepada malaysiakini hari ini menyifatkan sekatan-sekatan yang dikenakan kepada Harakah dan Detik sebagai satu penindasan kepada media yang sewajarnya berperanan "suara keempat dan pengawas demokrasi."

"Percubaan untuk mewujudkan satu suara dan satu aliran pemikiran sahaja merupakan penghinaan kepada kepintaran rakyat negara ini," jelasnya.

Sementara itu Mahfuz pula berasa hairan bagaimana kerajaan boleh mengambil tindakan sedemikian "di zaman langit terbuka."

Tetapi isu sebenar Harakah tidak berakhir dengan isu permit dan larangan menjual kepada bukan ahli parti PAS sahaja. Isunya lebih jauh daripada itu. "Kenapa akhbar yang rendah kualiti kewartawanan itu dibandingkan dengan piawaian laporan akhbar biasa dan organ sebuah parti pembangkang pula mendapat sambutan yang luar biasa?" tanya seorang penulis tamu malaysiakini.

Zunar memberikan jawaban, "sebab rakyat menolak politik pemerintah dan gaya laporan media pemerintah."

"Kalau mereka memberikan kebebasan yang secukupnya kepada akhbar-akhbar harian, bukan mengongkong seperti yang ada pada hari ini, KDN tidak perlu mengharamkan Harakah atau mengenakan syarat yang pelik-pelik. Harakah akan sendirinya kehilangan pembaca," tambahnya.