Polis hari ini memfailkan permohonan supaya diadakan inkues bagi menyiasat kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, pada April lalu.

NONEPegawai Penjaga Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Supt R Munusamy, berkata polis telah mengemukakan laporan mati mengejut (SDR) Ahmad Sarbani kepada pejabat pendaftar mahkamah pada kira-kira pukul 3 petang tadi. Permohonan untuk mengadakan inkues itu dikemukakan mengikut Seksyen 399(1) Kanun Prosedur Jenayah, katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Munusamy berkata, terpulang kepada Majistret untuk menentukan tarikh inkues tetapi tarikh paling awal dijangka ditetapkan kerana kes itu mempunyai kepentingan awam.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah menyatakan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah bersetuju dengan cadangan pihak polis untuk mengadakan inkues selepas mengkaji kertas siasatan yang dikemukakan oleh polis Kuala Lumpur.

NONEAhmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada 6 April lalu.

Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

-Bernama