PAS didakwa punca kegagalan debat MRSM
PAS menjadi punca kegagalan perdebatan di antara Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen PAS, Kuala Terengganu, Dr Syed Azman Syed Nawawi semalam, sehingga polis menasihatkan supaya ianya dibatalkan, dakwa naib ketua Pemuda Terengganu, Tengku Zainuddin bin Tengku Zahid.
Debat itu yang bertajuk "Penutupan MRSM: Siapa Pengkhianat" dijadual bermula jam 9 malam di Kompleks Seri Iman di Kuala Terengganu.
Beliau juga kesal dengan laporan Harakah Online yang mendakwa Nazri enggan berdebat dan pembatalan perdebatan itu berpunca daripada Umno Negeri.
Umno Terengganu menjelaskan bahawa pihaknya tidak ada kena mengena dengan majlis berdebatan Nazri-Syed Azman malam tadi kerana ianya adalah anjuran kerajaan negeri PAS sendiri.
PAS menjadi punca kegagalan perdebatan di antara Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen PAS, Kuala Terengganu, Dr Syed Azman Syed Nawawi semalam, sehingga polis menasihatkan supaya ianya dibatalkan, dakwa naib ketua Pemuda Terengganu, Tengku Zainuddin bin Tengku Zahid.
Debat itu yang bertajuk "Penutupan MRSM: Siapa Pengkhianat" dijadual bermula jam 9 malam di Kompleks Seri Iman di Kuala Terengganu.
Beliau juga kesal dengan laporan Harakah Online yang mendakwa Nazri enggan berdebat dan pembatalan perdebatan itu berpunca daripada Umno Negeri.
Laporan itu mendakwa, sehari sebelum debat itu dijadualkan, Umno Terengganu menemui pihak polis dan memanggil wakil Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri ke Balai Polis untuk menyatakan keengganan mereka membenarkan debat itu diadakan.
"Semuanya fitnah semata-mata. Itulah cara PAS yang setiap waktu mereka cerita. Kalau nak kata Datuk Nazri takut, mengapa beliau pergi hanya dengan beberapa orang sahaja yang mengiringinya. Saya juga ada di situ...," tambahnya ketika dihubungi malaysiakini petang ini.
Lagi pula, tambahnya, ini bukan kali pertama Nazri berbahas dengan pemimpin PAS kerana sebelum ini beliau telah berdebat dengan timbalan ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob berhubung isu sekolah agama rakyat (SAR) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur.
"Seorang menteri bukan seorang yang suka main-main. Beliau datang lengkap dengan dokumen-dokumen yang membuktikan bahawa PASlah yang menjadi pengkhianat hingga membawa kepada penutupan MRSM di Besut dan Dungun," katanya.
Terbuka mata
Jika polis tidak membatalkan perdebatan itu, katanya, sudah pasti rakyat akan terbuka mata dan hati mereka selepas mendengar apa yang hendak dihujahkan oleh Nazri.
Kerana menyedari perkara itulah, kata Tengku Zainuddin, PAS telah mencari alasan supaya perdebatan itu tidak dapat diadakan malam tadi.
Beliau juga kesal dengan tindakan PAS membabitkan Umno dengan mendakwa perdebatan mengenai penutupan MRSM di Besut dan Dungun itu, jika diteruskan, akan merugi dan menjejaskan peluang Umno untuk kembali ke tampuk pemerintahan.
"Apa kena mengenanya perdebatan itu dengan Umno Terengganu...yang menganjurkan adalah kerajaan negeri PAS, dan perdebatan itu adalah antara Datuk Nazri selaku ahli Parlimen Chenderoh dengan ahli Parlimen Kuala Terengganu, Syed Azman...," tambahnya.
Menurut Tengku Zainuddin lagi, jika Nazri hadir sebagai menteri, sudah tentunya Syed Azman tidak layak untuk berdebat dengannya.
Mengenai dakwaan Harakah Online yang melaporkan kira-kira 15,000 orang membanjiri sekitar Dewan Terbuka Kompleks Seri Iman, beliau berkata: "Saya hadir malam tadi. Pada pandangan sahaja yang hadir terdiri daripada kira-kira 1,000 penyokong PAS dan 700 penyokong Umno....mana datangnya 15,000 tu?".
Ceramah PAS
Katanya, Nazri datang ke majlis itu ditemani oleh beberapa orang sahaja kerana tujuan beliau ke situ ialah untuk memberi penjelasan kepada para penyokong PAS, bukannya orang Umno, mengenai isu tersebut.
"Pembatalan debat tersebut bukan soal politik...ianya dibatalkan oleh pihak penguatkuasa undang-undang yang mendapati keadaan keselamatan tidak selamat jika majlis dibenarkan berlangsung malam tadi," tambahnya.
Menurut Tengku Zainuddin lagi, beliau juga tidak faham mengapa majlis debat itu dibatalkan atas sebab-sebab keselamatan tetapi PAS dibenarkan mengadakan majlis ceramah di tempat yang sama selepas itu.
Sebelum itu, menurut laporan Bernama, Nazri naik ke pentas bersama Syed Azman, membuat pengumuman mengenai pembatalan itu kerana polis tidak dapat memberi jaminan tentang soal keselamatan.
Pengumuman beliau itu menyebabkan ribuan penyokong Pas gagal mengawal perasaan lalu melemparkan kata-kata kesat kepada Nazri, sehinggakan Nazri terpaksa dikawal ketat anggota polis hingga dibawa ke kenderaannya.
"Penakut!...pengecut!...Umno takut," begitulah antara kata-kata yang dilemparkan kepada beliau. Selain Tengku Zainuddin, turut mengiringi Nazri ialah bendahari Pemuda Negeri, Mohd Sabri Alwi.
Keadaan, bagaimanapun dapat dikawal pasukan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU). Selepas Nazri beredar, program debat itu diteruskan dengan ceramah isu-isu semasa pemimpin kerajaan Pas Terengganu termasuk Dr Syed Azman sendiri.

